Mayat wanita ditemui terapung selepas hilang 3 hari

PARIT BUNTAR – Mayat wanita yang ditemukan terapung di tepi laut berhampiran Pengkalan Zon Maritim Kuala Kurau disahkan wanita yang dilapor hilang sejak tiga hari lalu.

Mangsa dikenali sebagai Norasma Diana Mohd Nazim, 23, ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sekitar jam 4.45 petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata identiti mangsa dikenal pasti melalui proses pengecaman oleh keluarga mangsa di Hospital Parit Buntar.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik, Hospital Parit Buntar pagi tadi mendapati bahawa punca kematian tidak dapat dipastikan memandangkan keadaan fizikalnya sudah mengalami pereputan.

“Beberapa spesimen telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Ipoh bagi membantu keseluruhan siasatan dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, polis menerima laporan kehilangan mangsa pada Jumaat lalu daripada bapa mangsa yang memaklumkan anak gadisnya itu keluar dari rumah dan gagal dikesan.

Beliau berkata, keluarga mangsa turut memaklumkann mangsa mempunyai masalah kesihatan tiroid dan asma serta mengalami kemurungan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan siasatan bagi menjaga sensitiviti keluarga,” ujarnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di talian 05-721 2222 dan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, hebahan kehilangan mangsa dikongsi platform edia sosial sejak Khamis lalu.

Difahamkan, mangsa dipercayai keluar dari rumah memakai baju T berwarna biru gelap dan berseluar hitam. –  MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI