MCMC kenal pasti 345,712 kandungan memudaratkan untuk diturunkan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti sebanyak 345,712 kandungan memudaratkan yang dimohon untuk diturunkan daripada platform digital dengan setiap permohonan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ini kerana langkah itu memerlukan penyediaan dokumen serta justifikasi alasan kandungan itu diklasifikasikan sebagai memudaratkan.

Menurut beliau, daripada jumlah kandungan yang dimohon untuk diturunkan itu, kira-kira 91 peratus melibatkan kandungan perjudian dan penipuan (scam) yang dihasilkan secara berulang oleh penjenayah serta dipromosikan menerusi platform digital.

“Kalau kita ambil angka 345,712 yang saya sebutkan tadi dan didarab dengan 30 minit bagi setiap permohonan, bermaksud dari 1 Jan hingga semalam, MCMC telah menggunakan sejumlah 19.7 tahun waktu bekerja untuk memfailkan kandungan yang dipercayai memudaratkan.

“MCMC sedang meneliti penggunaan teknologi agentic AI bagi meningkatkan kecekapan mengurus aduan dan mengurangkan beban kerja pegawai selain menggalakkan platform media sosial turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan serta menurunkan kandungan yang melanggar garis panduan komuniti dengan lebih pantas,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kerajaan sedang melengkapkan kerangka kawal selia di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866], termasuk memuktamadkan satu lagi instrumen peraturan berkaitan ciri-ciri pesanan peribadi bagi memperjelas kewajipan platform digital dalam menangani kandungan memudaratkan.

Beliau berkata, MCMC sedang mengadakan rundingan awam bagi membangunkan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Sifat yang Lain bagi Ciri-Ciri Pesanan Peribadi).

Menurut beliau, rundingan awam yang bermula dari 19 Jun itu dijadualkan berakhir pada 20 Julai ini sebelum peraturan berkenaan dimuktamadkan.

“Kesemua perundangan subsidiari, kod dan garis panduan ini digubal bagi memperincikan kewajipan serta obligasi pemberi perkhidmatan berlesen di bawah Akta 866, di samping memberikan panduan yang jelas mengenai pematuhan terhadap tanggungjawab statutori,” katanya.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) tentang status pembangunan instrumen subsidiari di bawah Akta 866, termasuk peraturan, garis panduan dan mekanisme pelaksanaannya.

Fahmi berkata peraturan itu antara 10 instrumen subsidiari yang merangkumi peraturan, kod serta garis panduan yang melengkapi Akta 866, dengan empat daripadanya telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2026 serentak dengan akta itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI