MoU SSI, Jabatan Pertanian perkukuh sekuriti makanan

IPOH – Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dan Jabatan Pertanian Negeri Perak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sungkai.

SSI dalam satu kenyataan memaklumkan, MoU tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh agenda sekuriti makanan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Zulkifli Abdullah berkata, melalui MoU berkenaan SSI akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi membangunkan TKPM Sungkai melibatkan kawasan seluas 420 hektar di Kampung AA Tin, kira-kira tujuh kilometer dari pekan Sungkai.

Beliau berkata, pembangunan itu akan dijalankan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama seluas 157.3 hektar sudah mula dibangunkan bagi tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, manakala fasa kedua dan ketiga sedang dirancang.

“TKPM Sungkai bukan sahaja akan membantu meningkatkan hasil pertanian, tetapi juga berperanan dalam memperkukuhkan sekuriti makanan negeri dan negara.

“Justeru itu, Kerjasama ini merupakan satu langkah penting untuk memastikan Perak terus menjadi peneraju dalam pengeluaran makanan negara,” katanya.

Pemeteraian MoU itu disempurnakan dalam satu majlis sempena MAHA 2024 di MAEPS Serdang, yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

SSI diwakili oleh Zulkifli Abdullah, manakala Jabatan Pertanian Negeri Perak diwakili oleh Pengarahnya, Norsiyenti Othman.

Sehingga 2023, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian telah melaburkan RM220,000 bagi pembangunan projek ini, sementara Kerajaan Persekutuan menyumbang RM58,000 untuk kerja-kerja infrastruktur.

Projek TKPM Sungkai melibatkan penyertaan 30 peserta yang terlibat dalam pelbagai jenis tanaman seperti sengkuang, ubi keledek, jambu batu, bendi, terung, dan limau kasturi, dengan hasil pertanian yang dijangka meningkat dari tahun ke tahun.

Kerjasama ini dijangka akan membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negeri Perak dan menyokong matlamat jangka panjang kerajaan negeri dalam memastikan kestabilan bekalan makanan sejajar visi digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI