MPKK, RAC akan bincang langkah jangka panjang Jambatan Victoria

IPOH – Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta agensi berkaitan bagi menentukan langkah jangka panjang berkaitan penyelenggaraan, pembangunan dan keselamatan Jambatan Victoria di Enggor, Kuala Kangsar.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerjasama semua pihak termasuk RAC penting memandangkan kawasan berkenaan berada di bawah seliaan agensi tersebut.

“Setakat ini, perbincangan secara formal dengan RAC belum diadakan. Buat masa ini, kita nak dapatkan peruntukan untuk memasang jaring dahulu supaya aspek keselamatan dapat ditingkatkan.

“Untuk masa akan datang, perbincangan dengan RAC juga merupakan salah satu langkah yang dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Wedding Fair 2026 di Galasa Caldwell, di sini, malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, MPKK sedang mendapatkan peruntukan sekitar RM50,000 bagi pemasangan jaring keselamatan di bahagian bawah jambatan itu susulan kejadian kanak-kanak berusia tiga tahun maut akibat terjatuh daripada ketinggian lima meter di jambatan itu pada Isnin lalu.

Akses pengunjung ke bahagian struktur besi jambatan itu telah ditutup atas faktor keselamatan sehingga kerja penggantian kayu landasan yang telah usang dan reput serta langkah keselamatan tambahan selesai dilaksanakan.

Dalam kejadian itu, Abdul Rafee Abdul Halim, 3, bersama bapanya yang berusia 42 tahun sedang berjalan di atas jambatan berusia lebih 100 tahun sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar pada 7.40 malam hari yang sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin turut dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001, selain diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak maut di Jambatan Victoria: Polis buka kertas siasatan

Struktur besi Jambatan Victoria ditutup sementara, jaring keselamatan akan dipasang

Kanak-kanak tiga tahun maut terjatuh dari Jambatan Victoria

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI