Mufti Perak, KPPA dahului senarai 24 penerima darjah kebesaran Perak

KUALA KANGSAR – Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran serta pingat negeri Perak di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengurniakan Wan Zahidi, Zulkapli Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 pada 3 November lalu.

Pada istiadat sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dikurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Sementara Pegawai Kewangan Negeri Perak, Mohd Zaki Mahyuddin menerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Di samping itu, seramai 15 penerima dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DPMP ialah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri, Salbiah Mohamed; Pakar Kardiologi yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye serta Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Turut menerima DPMP adalah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Hamdan Ali; Pengarah Pendidikan negeri, Mohamad Fauzi Mahson; Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Megat Iskandar Megat Abdul Hamid; Setiausaha Bahagian di Kementerian Kewangan, Nor Eni Ismail; Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Saiyuti Abd Samat; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Muzafar Shah Mustafa, serta Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara Hakim Mahkamah Rayuan Datuk S.M. Komathy Suppiah, menerima DPMP selaku penerima Darjah bagi tahun lalu.

Penerima DPMP yang lain adalah Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto Group of Companies, P Chandrasekaran; bekas Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Yahanis Yahya.

Selain itu, Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lima penerima iaitu Pengarah Bahagian Geospatial Pertahanan Kementerian Pertahanan, Brig Jen Sr Dr Zambri Mohamad Rabab dan Ketua Perhubungan Antarabangsa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner R Suparamaniam.

Bagi penerima Darjah Kebesaran Sultan Perak serta pingat selebihnya yang tidak membawa gelaran, Istiadat penganugerahannya berlangsungkan pada 18 November juga di Istana Iskandariah.

Istiadat penganugerahan kali ini menyaksikan keseluruhan seramai 238 individu menerima darjah kebesaran serta pingat kebesaran negeri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Keputeraan Sultan Perak: Wan Zahidi, Ayob Khan antara 238 penerima Darjah Kebesaran

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI