Nasi bakar tarikan terbaharu Miker Signature

ORANG Perak khususnya tidak perlu ke Indonesia untuk menikmati menu istimewa terbaharu dari Miker Signature iaitu nasi bakar yang cukup popular di negara tersebut.

Sejak dibuka pada Ogos tahun lalu, restoran tersebut menawarkan lebih 30 masakan berkonsepkan masakan Melayu tradisional (traditional Malay cuisine) serta fusion telah mendapat sambutan pelanggan dari dalam dan luar Perak.

Pelanggan boleh memilih jenis lauk yang ingin dipadankan dengan nasi bakar antaranya termasuklah ayam salai masak lemak, tempoyak udang dan asam pedas tetel.

Pengarah Operasi Miker Group Sdn Bhd, Muhammad Rasydan Zakaria, 35, berkata, menu baharu yang diperkenalkan sejak awal Syawal lalu kebanyakkannya mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

Nasi bakar tarikan terbaharu Miker Signature
Nasi bakar menu istimewa terbaharu dari Miker Signature, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 2 MAY 2024.

“Kami bawakan menu nasi bakar di Ipoh kerana ia bukan mudah untuk didapati di sini dan ada yang tidak pernah makan masakan tersebut.

“Nasi bakar berasal daripada Indonesia dan dikategorikan sebagai makanan nusantara. Memandangkan kita serumpun, kita bawa nasi bakar ke sini dan menghidangkannya dengan lauk yang bersesuaian.

“Kita ada nasi bakar daging salai masak lemak, itik salai masak lemak, tempoyak udang dan kita juga variasikan dengan lauk fusion seperti ketam kam heong dan daging bakar danok,” katanya kepada MG Perak.

Beliau memaklumkan, nasi bakar ini cukup istimewa kerana nasi itu perlu dimasak terlebih dahulu sebelum dibakar menggunakan daun pisang.

“Di Malaysia, nasi adalah makanan ruji. Sekarang kita mengetengahkan nasi bakar supaya pelanggan dapat merasai kelainan terutamanya dari segi aroma yang berbeza dari nasi putih sedia ada.

Nasi bakar tarikan terbaharu Miker Signature
Pengarah Operasi Miker Group Sdn Bhd, Muhammad Rasydan Zakaria, 35, menunjukkan set nasi bakar yang dipadankan dengan ayam salai masak lemak, tempoyak udang dan asam pedas tetel di Miker Signature, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 2 MAY 2024.

“Memang tidak dinafikan kita mempunyai beras wangi tetapi apabila nasi dibalut dengan daun pisang dan dibakar, secara tidak langsung aroma yang datang dari daun itu naik sekali gus membuka selera.

“Hidangan nasi bakar menjadi lebih sedap apabila dipadankan dengan lauk Melayu tradisional yang disediakan di sini,” ujarnya.

Katanya, Miker Signature menawarkan harga promosi RM19.90 untuk satu set nasi bakar bersama lauk berserta air sirap selasih hanya pada jam 12 tengah hari sehingga 3 petang.

Dalam pada itu, Rasydan berkata, selain menu nasi bakar, orang ramai boleh mencuba masakan lain pemanis mulut (dessert) serta minuman istimewa yang disediakan di sini.

Nasi bakar tarikan terbaharu Miker Signature
Set nasi bakar yang dipadankan dengan ayam salai masak lemak, tempoyak udang dan asam pedas tetel di Miker Signature, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 2 MAY 2024.

“Ada dessert seperti kalakatar dari kaum Banjar, pisang cak lempong dari Negeri Sembilan malah orang ramai boleh mencuba air soda cili selasih salah satu minuman terkenal di Miker Signature

“Bahan-bahan yang disediakan di sini adalah adalah segar, seperti ketam yang kita akan ambil dalam akuarium jika ada pesanan. Kita tidak menggunakan bahan mentah sejuk beku di sini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Miker Signature adalah salah satu daripada rangkaian restoran terbaharu di bawah Miker Group Sdn Bhd.

Menurutnya, syarikat yang diterajui Pengasas jenama Miker, Mohd Amzari Zamri, 40, serta rakan kongsinya, Wan Rathnor Wan Mohd, 40, dan beliau sendiri sebelum ini telah membuka restoran Miker Food dan Miker Pizza.

Nasi bakar tarikan terbaharu Miker Signature
Pelanggan menikmati makanan yang ditawarkan termasuk menu istimewa terbaharu nasi bakar di Miker Signature, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 2 MAY 2024.

“Sejak Miker Signature dibuka, kita mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada orang ramai malah, kita menerima tawaran untuk mengembangkan jenama Miker di negeri lain.

“Bagaimanapun, pada masa ini, kita akan terus menumpukan perniagaan di Ipoh sebelum memperluaskan jenama Miker ke luar Perak,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Figtopia, ‘Syurga Buah Tin’ produk agro pelancongan baharu di Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI