PTD Kerian berjaya banteras aktiviti ceroboh kolam tadahan di Bukit Merah

BAGAN SERAI – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian berjaya membanteras aktiviti pencerobohan tanah berskala besar dan berisiko tinggi di kawasan kolam tadahan Bukit Merah dalam satu operasi penguatkuasaan pada Rabu.

Operasi itu turut disertai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dengan membabitkan 78 anggota.

Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, pencerobohan itu dipercayai dilakukan beberapa individu yang menjalankan aktiviti pertanian di kawasan seluas 15.37 hektar itu melibatkan tanaman pisang dan limau.

Menurutnya, pihaknya bertindak menjalankan operasi tersebut susulan maklumat yang diterima daripada orang awam, di kawasan yang terletak di Wilayah Pondok Tanjung Hilir, Gunong Semanggol itu.

“Penceroboh didapati mengorek kawasan-kawasan kolam yang cetek tersebut dan menambak kawasan tepian bagi menambah keluasan tanah daratan bagi kegiatan pertanian.

PDT Kerian berjaya banteras aktiviti pencerobohan kolam tadahan Bukit Merah
Operasi penguatkuasaan diketuai PDT Kerian berjaya membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan untuk aktiviti pertanian di kawasan kolam tadahan Bukit Merah, pada Rabu. – Foto Ihsan PDT Kerian

“Selain tanaman yang diusahakan, terdapat binaan seperti rumah pekerja dan stor telah dibina di atas tanah tersebut.

“Sebarang pencerobohan di dalam kawasan tersebut boleh mendatangkan risiko pencemaran kepada kawasan tersebut yang akan menjejaskan bekalan air bersih kepada penduduk berhampiran.

“Selain itu, aktiviti pertanian yang djalankan di atas tambakan tanah di dalam kawasan kolam tersebut juga boleh menyebabkan baja-baja kimia untuk kegunaan pertanian tersebut untuk meresap ke dalam air di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Sabil berkata, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara iaitu menjalankan aktiviti membersih, membajak, menggali, mengepungi atau menanami mana-mana tanah sedemikian atau bahagian darinya adalah pendudukan secara tak sah atas tanah kerajaan.

“Notis berhubung pencerobohan tanah kerajaan itu telah diletakkan di kawasan tersebut sebelum ini namun tidak diendahkan pengusaha terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang menceroboh tanah kerajaan bahawa perkara seperti ini sentiasa dipantau dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Semua pihak perlu bekerjasama untuk memelihara kawasan ini supaya sumber air utama ini tidak berkurangan untuk keperluan pada masa akan datang,” katanya. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI