Pegangan saham tempatan MAHB oleh Khazanah, KWSP disyor kekal 70 peratus – PAC

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan pegangan saham tempatan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, syor itu dikemukakan bagi  memastikan kawalan strategik negara terus terpelihara di mana aspek kedaulatan serta kepentingan strategik negara tidak terjejas susulan perubahan struktur pemilikan MAHB.

“Bagi mengekalkan kawalan strategik negara, pegangan saham tempatan yang digabungkan di bawah Khazanah dan KWSP mestilah dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus.

“PAC turut mengesyorkan sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau pelupusan aset strategik MAHB pada masa hadapan mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri secara telus,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain itu, Mas Ermieyati berkata, MAHB turut disyorkan memperkukuh kerjasama strategik bersepadu bersama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Komunikasi bagi menyelaras pembangunan industri penerbangan.

PAC turut mengesyorkan penglibatan awal pemegang kepentingan industri, khususnya syarikat penerbangan tempatan, dalam perancangan pembangunan infrastruktur bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan memenuhi keperluan operasi sebenar.

Bagi meningkatkan kecekapan operasi secara berterusan, MAHB disaran mewujudkan mekanisme perundingan berkala dengan syarikat penerbangan utama supaya setiap perancangan pembangunan tidak bersifat unilateral.

Dari aspek ketelusan, PAC mengesyorkan MAHB turut menerbitkan laporan prestasi operasi serta petunjuk prestasi utama (KPI) perkhidmatan secara berkala kepada umum walaupun selepas penyahsenaraiannya.

MOF dan MOT pula disarankan memastikan MAHB mengemukakan laporan kemajuan fizikal serta aliran tunai projek berimpak tinggi seperti Aerotrain, Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) dan projek pembesaran lapangan terbang secara berkala bagi tujuan pemantauan.

Laporan kemajuan projek itu juga disyorkan dibentangkan di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC Parlimen berkaitan bagi tujuan semak dan imbang berterusan.

Selain itu, PAC mengesyorkan MAHB memperketat tatacara perolehan serta sistem saringan kontraktor dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi membanteras amalan kartel serta memastikan kualiti infrastruktur awam terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI