TAIPING – Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam sungai di Kilometer 213 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Kampung Jebong Lama, di sini pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.19 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah lori kontena 10 tan membawa muatan barang-barang sebuah platform e-dagang berada dalam sungai dan terdapat mangsa, seorang lelaki berusia 30-an telah dikeluarkan oleh orang awam yang mengalami kecederaan di bahagian muka.
“Anggota melakukan pemantauan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat.
“Mangsa yang cedera telah dibawa naik ke tebing jalan dan diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 8.20 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga emas maut, pelajar cedera langgar pokok tumbang di Kuala Kangsar


