Penduduk Orang Asli cedera diserang sekumpulan gajah

SUNGAI SIPUT – Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang gajah liar dalam kejadian di Kampung Orang Asli Perjek, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap di sini, semalam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, telah menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 10 malam tadi dan kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah digerakkan ke lokasi.

“Hasil siasatan menerusi temu bual dengan penduduk mendapati sekumpulan empat ekor gajah telah memasuki kawasan belakang rumah penduduk dan memakan tanaman ubi kayu serta pisang sekitar jam 9 malam.

“Mangsa bersama beberapa orang penduduk kampung telah cuba menghalau kumpulan gajah tersebut namun ketika usaha berkenaan dijalankan, mangsa berada pada jarak yang terlalu hampir tiba-tiba diserang oleh seekor gajah.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan, pendarahan serta tidak sedarkan diri sebelum penduduk kampung menyelamatkan dan membawanya keluar dari lokasi,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar dengan ambulans ke Hospital Sungai Siput kira-kira jam 10.30 malam dan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan lanjut serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Perhilitan berkata, pemantauan telah dijalankan menggunakan dron mendapati kumpulan gajah tersebut telah beredar dari kawasan kampung.

“Perhilitan akan terus memantau pergerakan kumpulan gajah berkenaan dan mengambil tindakan pengurusan yang bersesuaian bagi mengurangkan risiko konflik antara manusia dan hidupan liar di kawasan tersebut,” katanya.

Tambahnya, Perhilitan akan membantu keluarga mangsa untuk mendapatkan bantuan melalui inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Sehubungan itu, Perhilitan menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk menghalau hidupan liar, khususnya gajah, kerana tindakan tersebut boleh mengundang risiko kepada keselamatan.

“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keselamatan Langkawi, konflik gajah-manusia antara tumpuan Dewan Rakyat

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI