PASIR SALAK – Seorang penganggur yang mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah masih tidak serik apabila ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM30,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Teluk Saga, Kampung Gajah dekat sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, serbuan sekitar jam 9.30 malam itu melibatkan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas polis menerima maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah berkenaan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun. Pemeriksaan lanjut turut menemukan sembilan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 146.33 gram.
“Selain itu, polis turut menemui enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki methamphetamine seberat 24.70 gram serta 17 keping kerajang aluminium yang mengandungi 170 biji pil disyaki Erimin 5 dengan anggaran berat kasar 53.38 gram.
“Polis juga menemukan 41 peket plastik bergambar kartun, setiap satu mengandungi satu katrij vape berisi cecair disyaki mengandungi dadah jenis ketamin dengan berat 360.80 gram dan isipadu 123 mililiter.
“Dadah jenis heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM7,316.50; methamphetamine RM1,235; Erimin 5 RM3,400 manakala cecair ketamin pula dianggarkan bernilai RM18,040 dengan jumlah keseluruhan RM29,991.50,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Dalam perkembangan sama, Hafezul Helmi berkata, polis turut mengambil tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta Proton Waja, sebuah motosikal Honda RS150 serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM3,372.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Suami isteri antara tujuh ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah, rampasan RM794,827


