IPOH – Sepasang suami isteri antara tujuh individu yang ditahan dalam empat serbuan berasingan sekitar Ipoh dan Tapah pada 4 dan 5 Ogos lalu kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Jun tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, operasi tersebut membawa kepada rampasan dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 3,228.53 gram dan dadah jenis ketamin seberat 37.88 gram bernilai keseluruhan RM538,451.
Menurutnya, turut disita ialah tiga buah kereta bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM794,827.
“Kesemua suspek iaitu lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun ditahan antara jam 12.30 tengah hari Selasa hingga 3.05 pagi Rabu lalu.
“Empat lelaki dan dua wanita ditahan di sebuah pusat hiburan di Ipoh dan hasil dua pemeriksaan yang dilakukan menemukan dadah jenis ketamin seberat 24.14 gram dan dadah jenis MDMA seberat 574.81 gram.

“Hasil soal siasat terhadap tangkapan pada serbuan kedua telah membawa kepada serbuan di dua buah rumah berasingan di Tapah serta penahanan seorang lelaki dan menemui dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 2,653.72 gram dan dadah jenis ketamin seberat 13.74 gram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (KJSJK) Perak dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.
Pada majlis itu, Asisten Komisioner Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai KJSJK Perak yang baharu manakala pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner S Saravanan yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan dadah yang dirampas boleh merosakkan kira-kira 23,332 orang dan modus operandi yang digunakan oleh sindiket menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah.
Mohd Alwi berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek direman selama tiga dan empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kes kematian penghuni rumah jagaan: Premis beroperasi tanpa lesen, mangsa dipukul, dipijak


