IPOH – Santan segar masih menjadi pilihan orang ramai untuk digunakan sebagai bahan dalam masakan pada perayaan Aidilfitri walaupun harganya dikatakan melonjak naik sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di Pasar Besar Ipoh mendapati, peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan yang tidak henti-henti berkunjung ke gerai tersebut.
Peniaga santan, Badrulhissam Azizan, 50, berkata, gerai Kak Teh santan yang diwarisi daripada ibunya dan beroperasi lebih 40 tahun mula dikunjungi pelanggan seawal jam 5 pagi.
Menurutnya, sebanyak 2,000 biji kelapa disediakan untuk hari ini sahaja dan pelanggan sudah mula membeli santan segar sejak Jumaat lalu.
“Harga kelapa sekarang ini naik mencecah RM3 sebiji dan kita jual santan segar RM11 sekilogram. Selain itu, kita turut menjual kerisik dengan harga RM25 sekilogram namun kuantitinya tidak banyak,“ katanya.
Peniaga daging, Mustaqim Sefpee, 21, juga terkejut dengan kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus ke gerainya sejak Isnin lalu sehingga ke hari ini.
Dia yang menjalankan perniagaan daging lembu segar tempatan dan import lebih 20 tahun dari zaman bapanya berkata, memang ramai pelanggan datang untuk membeli daging sebagai persediaan bahan utama bagi juadah pada 1 Syawal nanti.
Katanya, jualan daging juga naik mendadak kerana ramai pelanggan hadir untuk membeli bahan mentah itu.
“Harga bagi daging lembu segar tempatan adalahh RM36 sekilogram manakala untuk daging import cuma RM24 sahaja. Tulang lembu pula dijual dengan harga RM32 sekilogram dan ‘gearbox‘ boleh didapati dengan RM10 sekilogram.
“Hari ini, kita turut membuat promosi tulang lembu segar dengan harga RM20 sekilogram untuk menghabiskan stok.
“Kami juga telah ambil lebih 200 kotak daging import (sekotak 20 kilogram) dan untuk daging lembu segar sehari lima ekor,“ ujarnya.
Berbeza pula dengan peniaga ayam, Mohamad Firdaus Mohamad Yusof, 43, yang menyifatkan tahun ini jualannya kurang mendapat sambutan berbanding tahun lalu.
“Hari ini jualan agak kurang tetapi semalam lebih 100 ekor ayam habis terjual. Dari segi harga kalau ikutkan murah dan berpatutan tetapi orang masih cakap mahal walaupun saya jual RM9.40 sekilogram.
“Selain itu, saya turut menjual ayam kampung dengan harga RM35 seekor untuk saiz besar dan RM25 untuk saiz kecil manakala ayam pencen cuma RM13 seekor,“ katanya yang mewarisi perniagaan ayam ibunya dan sudah beroperasi lebih 40 tahun. – MG Perak
Artikel Berkaitan: