Perak harap lahir ramai pakar teknologi pendidikan dan baharu

KAMPAR – Kerajaan Perak berharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang teknologi pendidikan dan baharu sebagai persediaan ke arah Industri Revolusi Ke Empat (IR 4.0).

Exco Komunikasi, Multimedia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Negeri Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, sebagai langkah awal, Karnival Digital Negeri Perak 2023 diadakan dalam usaha merealisasikan harapan berkenaan.

Menurut Mohd Azlan, karnival yang memasuki tahun kedua penganjuran itu menyediakan panduan dan hala tuju pendigitalan kepada Guru Penyelaras Bestari (GPB) selaku focal person (orang tumpuan) teknologi di sekolah.

“Karnival ini menjadi platform strategik untuk perkongsian pengalaman dan cabaran, meneroka teknologi terkini serta membentuk kerjasama antara jabatan dan agensi serta warga pendidik dalam melahirkan generasi fasih digital.

“Penggunaan teknologi digital dalam pembelajaran dan pemudahcara secara tidak langsung dapat melahirkan murid-murid yang fasih digital.

“Selain itu, penggunaan pelantar pembelajaran digital KPM DELIMa (Kementerian Pendidikan Digital Educational Learning Initiative Malaysia) dalam kalangan guru dan murid dapat dipertingkatkan melalui kemahiran dan pengetahuan dengan rakan strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Digital Negeri Perak 2023 di Terminal Kampar Putra Sentral, di sini pada Selasa.

Mohd Azlan berkata, perkembangan pesat era digital masa kini menjadikan peranan pendidik lebih mencabar.

“Justeru, semua guru dan warga pendidikan perlu lebih peka dengan perkembangan semasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Semoga pelaksanaan karnival digital pada hari ini dapat membantu warga pendidik menghasilkan idea dan inisiatif baru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan seterusnya menyediakan murid dalam mendepani cabaran IR 4.0,” jelasnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

Perak tambah baik jaringan telekomunikasi di hutan lipur terpilih

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI