IPOH – Perak memperkenalkan Halaman Suri Sejahtera di Taman Lapangan Terbang, di sini, sebagai pusat komuniti yang menyediakan kemudahan latihan kemahiran, pendidikan sepanjang hayat serta sokongan psikososial untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kemudahan itu bukan hanya memberi manfaat kepada wanita, sebaliknya turut menjadi ruang sokongan kepada keluarga, kanak-kanak, warga emas, golongan rentan serta komuniti setempat.
“Halaman Suri Sejahtera diwujudkan sebagai sebuah pusat komuniti yang selamat, selesa dan mudah diakses oleh masyarakat.
“Prasarana ini bakal menjadi tempat pelaksanaan pelbagai aktiviti seperti latihan kemahiran, pendidikan sepanjang hayat, sokongan psikososial, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan keluarga serta aktiviti sosial yang mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan sosial secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika beruap pada Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak, di Taman Lapangan Terbang, di sini, yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, pada Khamis.
Menurut Salbiah, kewujudan pusat komuniti itu amat bertepatan dengan keperluan semasa masyarakat selepas isu seperti kesihatan mental, sokongan komuniti, kesejahteraan warga emas, pembangunan keluarga dan pemberdayaan wanita menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan umum.

Justeru kata beliau, Halaman Suri Sejahtera bukan sekadar ruang aktiviti masyarakat, sebaliknya ia boleh menjadi pusat yang menghimpunkan pelbagai bentuk sokongan sosial dalam satu ekosistem yang mudah diakses oleh rakyat.
Pada masa sama Salbiah berkata, perubahan demografi negeri yang menyaksikan peningkatan jumlah penduduk warga emas memerlukan penyediaan lebih banyak prasarana mesra usia yang mampu menyokong golongan itu agar terus aktif, sihat dan bermaruah.
Oleh itu ujar beliau, model Halaman Suri Sejahtera wajar diperluaskan secara berperingkat ke daerah lain berdasarkan data kependudukan, keperluan masyarakat serta kapasiti prasarana sedia ada.
“Warga emas bukan sekadar golongan yang memerlukan bantuan. Mereka merupakan aset yang mempunyai pengalaman, ilmu dan kebijaksanaan yang masih boleh dimanfaatkan untuk pembangunan keluarga dan masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu beliau berkata, Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad, telah menyatakan minat terhadap pelbagai usaha pembangunan komuniti yang sedang digerakkan kerajaan negeri.
Salbiah berkata, ia khususnya dalam usaha Perak untuk fenomena negeri menua dan usaha memperkukuhkan kesejahteraan masyarakat.
“Halaman Suri Sejahtera turut dikenal pasti sebagai antara inisiatif yang berpotensi diketengahkan bagi mendapatkan sokongan pendanaan pada masa hadapan.
“Ini merupakan satu pengiktirafan bahawa usaha yang sedang kita laksanakan bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat, malah turut mendapat perhatian dan keyakinan daripada organisasi pembiaya pembangunan sosial di peringkat nasional,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


