AMERIKA SYARIKAT – Paraguay membuat kejutan apabila menyingkirkan Jerman daripada Piala Dunia 2026 selepas tewas 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay pada pusingan 32 terakhir sebentar tadi.
Kejayaan penuh sejarah kali pertama ke pusingan 16 sejak 2002 diraih selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.
Kekalahan skuad kendalian Julian Nagelsmann itu menyaksikan Jerman buat pertama kali dalam sejarah tewas dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia.
Penjaga gol Paraguay, Orlando Gill, muncul wira apabila menyelamatkan sepakan Havertz dan Nick Woltemade sebelum Jose Canale akhirnya menyempurnakan sepakan penalti kemenangan.
Kekalahan itu menyaksikan satu lagi detik malang buat Jerman yang baru kembali beraksi di pusingan kalah mati buat kali pertama sejak menjuarai Piala Dunia 2014.
Paraguay pula meraikan antara kemenangan paling bersejarah mereka di pentas Piala Dunia namun bakal berdepan cabaran getir menentang Perancis pada pusingan seterusnya sekiranya Les Bleus menewaskan Sweden.
Sementara itu, Presiden Paraguay, Santiago Pena mengisytiharkan cuti umum dengan kejayaan skuad Albirroja.
Undang-undang Paraguay membenarkan kuasa eksekutif mengisytiharkan tiga hari cuti umum tambahan dalam setahun.
Pena juga mengisytiharkan cuti umum pada September tahun lalu selepas pasukan kebangsaan memastikan mereka kembali ke Piala Dunia sejak kejohanan 2010 di Afrika Selatan. – Agensi


