PN Perak tidak pernah pertikai peruntukan daripada kerajaan negeri

IPOH – Perikatan Nasional (PN) Perak, tidak pernah mempertikaikan atau membuat kenyataan bahawa Kerajaan Negeri tidak lagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang seperti yang didakwa oleh Pemuda Umno Perak.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, tindakan Ketua Pemuda Umno Perak, Nazirul Jamaluddin memainkan naratif isu terbabit dalam sesi wawancara Lepak @ Pemuda Umno Perak dengan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad mengundang pelbagai persoalan.

Menurut Zainol Fadzi, Nazirul dilihat seolah-olah cuba mengheret atau menimbulkan satu polemik tidak baik kepada Menteri Besar Perak apabila menuduh ADUN PN tidak diberikan peruntukan.

“PN Perak memandang serius perkara yang dibangkit dan amat pelik mengapa isu terbabit dimainkan oleh Pemuda Umno Perak atau mungkin terdapat salah faham dalam isu terbabit.

“Saya turut tegaskan di sini tiada satu ADUN PN yang pernah mempertikaikan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti yang digambarkan oleh Nazirul,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Zainol Fadzi berkata, PN Perak amat berterima kasih kepada Saarani kerana masih mengekalkan dasar yang diputuskan bersama ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang pertama.

Jelas beliau Saarani ketika itu merupakan salah seorang anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri.

“Keputusan terbabit yang dipengerusikan oleh Saarani telah menetapkan sesiapa pun yang menjadi kerajaan, peruntukan kepada ADUN pembangkang tetap akan diberi.

“Namun peruntukan itu amat terhad dan tidak mencukupi bagi menampung permohonan orang ramai jika melibatkan kos yang besar atau memohon sesuatu projek dijalankan,” katanya.

Ujar beliau, ADUN kerajaan boleh menyalurkan sebarang permohonan kepada kerajaan negeri malahan di peringkat kerajaan Persekutuan melalui menteri yang berkaitan malah mudah untuk dapatkan peruntukan.

“Adakah kerajaan negeri atau Pusat bersedia meluluskan permohonan daripada ADUN pembangkang jika terdapat sebarang permohonan untuk dimajukan bagi menghormati hak rakyat yang telah memilih wakil rakyat mereka.

“PN Perak merakamkan ucapan terima kasih kepada ketua jabatan di peringkat negeri dan pusat termasuk di daerah-daerah yang sentiasa memberi respon cukup baik.

“Kami turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai dan penjawat awam agensi terlibat dalam memberi kerjasama kepada ADUN PN jika timbul sebarang permasalahan di kawasan kami,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI