PPS SK Kerunai ditutup, mangsa banjir di Perak turun 203 orang

IPOH – Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Sekolah Kebangsaan (SK) Kerunai, yang menempatkan mangsa banjir dari sembilan kampung di Gerik, ditutup pada jam 12 tengah hari, pada Sabtu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, ke semua mangsa daripada Kampung Pahat Dalam, Kampung Pahat Luar, Kampung Tanjung Kekabu, Kampung Star Kecil, Kampung Kerunai, Kampung Kota, Kampung Dusun, Kampung Padang Stang serta Kampung Padang Langgar dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut Sekretariat JPBN Perak, bagaimanapun tiga buah PPS di dua daerah iaitu Hilir Perak dan Kerian yang menempatkan 203 mangsa daripada 63 keluarga masih dibuka.

Katanya, jumlah berkenaan menurun berbanding 324 orang daripada 99 keluarga melibatkan empat buah PPS di tiga daerah pada pagi Jumaat.

“Seramai 162 mangsa daripada 54 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak melibatkan Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap.

“Kesemua mangsa merupakan penduduk daripada Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 7, Batu 9, Batu 10 dan Lorong Sidang Osman, Kampung Kilang Kacang dan Kampung Batu 9, Changkat Jong.

“Bagi daerah Kerian pula seramai 41 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah, masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak,” katanya pada Sabtu.

PPS SK Kerunai, mangsa banjir Perak 1
Anggota APM Hulu Perak, meninjau salah sebuah daripada sembilan kampung di Gerik yang sudah surut daripada banjir selepas semua mangsa di PPS SK Kerunai dibenarkan pulang pada Sabtu. Foto ihsan, APM HULU PERAK, 28 OKTOBER 2023.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan paras air di Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak berada pada tahap bahaya dengan ketinggian 3.63 meter (m) melepasi melepasi paras normal iaitu 2.0m.

Sementara itu, paras air sungai di Sungai Perak di Weir Tanjung Tualang di daerah Kinta pula berada pada tahap waspada dengan ketinggian 13.07m berbanding paras normal 10m.

Sekretariat JBPN turut melaporkan Jalan Kubu Gajah, Ijok-Sumpitan serta Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid masih ditutup kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak akibat tanah runtuh.

“Selain itu, F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh.

“Bagi Jalan Selama di Kerian yang turut terjejas dengan situasi sama hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja. -MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

Mangsa banjir meningkat 324 orang, Hulu Perak daerah terbaharu terjejas

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI