IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak telah menggerakkan jenteranya ke Melaka bagi membantu kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada BN Pusat untuk membantu kempen di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam kawasan Parlimen Tangga Batu di negeri berkenaan.
“Kita dah dapat arahan daripada BN HQ (Pusat), Perak ini kita akan membantu untuk memenangkan dua kawasan DUN iaitu Paya Rumput dan Sungai Udang dalam kawasan Parlimen Tangga Batu.
“Perak akan jaga dua DUN sahaja,“ katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Pada PRN lalu, Datuk Rais Yasin yang mewakili BN menang di kerus Paya Rumput dengan majoriti 629 undi selepas menewaskan empat pencabarnya termasuk bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mewakili Pakatan Harapan (PH), Muhammad Fariz Izwan Mazlan (PN), Mohd Jaini Dimon (BEBAS) dan Mohamad Hashidi Mohd Zin (PUTRA).
Manakala, kerusi Sungai Udang menjadi milik Dr Mohd Aleef Yusof dari PN apabila menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mewakili BN dengan majoriti 530 undi, selain Hasmorni Tamby (PH) dan Mohd Zahar Hashim (BEBAS).
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka Ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pula pada 10 November ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRN Melaka: MCA tak mahu buat andaian kerjasama BN-PH, tunggu keputusan perbincangan


