TAPAH – Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertindak sebagai ‘lapisan kedua’ bagi menyokong kawalan keselamatan termasuk di depoh tahanan Imigresen.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu mempunyai punca kuasa yang sememangnya mengikut perundangan.
“RELA adalah agensi yang menjadi sokongan kepada operasi dan kawalan keselamatan bukan sahaja di peringkat jabatan tetapi untuk menjaga premis-premis berkaitan.
“Selain itu, RELA merupakan entiti yang sah dari segi undang-undang. Jadi, tidak timbul isu kenapa tugas kawalan keselamatan diserahkan kepada mereka,” jelasnya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Depot Tahanan Sementara Imigresen Bidor, dekat sini, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika selepas ditanya mengenai dakwaan di media sosial yang mempersoalkan alasan kenapa anggota RELA ditempatkan di depot tersebut serta mengaitkannya dengan kejadian rusuhan melibatkan 131 tahanan Myanmar termasuk etnik Rohingya.
Sementara itu, mengulas berhubung kawalan keselamatan depot terbabit, Ruslin berkata, selain pegawai Imigresen, anggota RELA turut ditempatkan untuk berkawal 24 jam di sekitar kawasan depot berkenaan.
“Dari segi keselamatan, kita ada ramai pegawai-pegawai (Imigresen) dan juga anggota RELA yang berada di setiap penjuru blok itu.
“Bagaimanapun, apabila berlaku rempuhan, amat sukar untuk kita tangani. Kalau ramai datang serentak dalam 30 ke 40 orang sekali. Alhamdulillah, dua orang pegawai RELA cedera sikit sewaktu rempuhan tersebut namun keadaan sekarang semakin baik.
“Sebab itu, kita akan tutup dulu (depot) untuk meneliti dan membuat siasatan. Siasatan dalaman akan melibatkan polis, JIM dan agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya.
Katanya, depot terbabit berkapasiti besar serta boleh memuatkan lebih 700 orang tahanan pada satu-satu masa dan ia menempatkan seramai 566 tahanan sebelum kejadian rusuhan itu berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan seramai 100 tahanan wanita yang masih berada di depot tersebut dipindahkan ke lokasi lain seperti di Depot Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Lenggeng di Negeri Sembilan dan Kemayan di Pahang.
Terdahulu, media melaporkan, seramai 131 pendatang tanpa izin (PATI) bertindak melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 335 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) lewat malam Khamis. – MG Perak
Artikel Berkaitan: