GOPENG – Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas dipercayai hanyut ketika mandi di Sungai Kampar di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada rakan mangsa sekitar jam 1.45 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, ketika kejadian, anggota Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Utara dari Tronoh sedang menjalani latihan berhampiran lokasi.
“Anggota terbabit telah terlebih dahulu memulakan operasi mencari mangsa menggunakan teknik pencarian di permukaan air.
“Mangsa berusia 17 tahun itu berjaya ditemui kira-kira 10 minit pada jarak antara 15 hingga 20 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa naik ke tebing sungai sebelum diberikan rawatan awal oleh anggota penyelamat.
“Aggota FRAM bersama pasukan bomba memberikan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) secara berterusan selama hampir satu jam sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” ujarnya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.18 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua remaja maut, kanak-kanak cedera dirempuh kereta hilang kawalan


