IPOH – Kejayaan cemerlang para pelajar di Perak dalam peperiksaan awam bukan sekadar hasil usaha individu, sebaliknya lahir daripada sokongan berterusan guru, ibu bapa dan seluruh warga pendidikan yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setiap kejayaan yang dicapai adalah hasil perjalanan panjang yang menuntut kesungguhan, disiplin dan ketabahan daripada pelajar.
Menurutnya, setiap penghargaan bukan hanya menghargai keputusan peperiksaan, malah mengiktiraf pengorbanan semua pihak yang bersama-sama membantu membentuk kejayaan anak-anak Perak.
“Petang ini, kita menghimpunkan ramai anak-anak Perak yang telah membuktikan bahawa usaha, disiplin dan kesungguhan mampu membuka jalan kepada kejayaan.
“Pada masa yang sama, kita turut menghargai guru, ibu bapa dan seluruh warga pendidikan yang berjalan bersama mereka sepanjang perjalanan tersebut.”
“Untuk sampai ke tahap ini bukanlah satu perjalanan yang mudah. Kejayaan tersebut dibina melalui hari-hari yang panjang, kesungguhan dalam pelajaran, disiplin mengurus masa dan ketabahan untuk terus mencuba walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 di Hotel Kinta Riverfront, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengurus Besar Yayasan Perak (YP), Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan.
Saarani berkata, setiap penerima anugerah sebenarnya berkongsi kejayaan itu bersama insan yang banyak berkorban di belakang tabir sepanjang proses pembelajaran.
Katanya, nilai seperti usaha, ketabahan, disiplin dan adab yang membentuk kejayaan perlu terus dipupuk kerana menjadi bekalan penting apabila pelajar melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Sebab itulah apabila seorang anak melangkah naik ke pentas menerima penghargaan pada petang ini, kejayaan tersebut sebenarnya dikongsi bersama ramai insan yang berkorban dalam diam.
“Majlis ini memberi ruang untuk kita menghargai perjalanan tersebut. Kita meraikan keputusan yang baik dan pada masa yang sama menghargai nilai usaha, ketabahan, disiplin dan adab yang membentuk kejayaan.
“Nilai-nilai inilah yang perlu terus dibawa oleh anak-anak apabila melangkah ke peringkat seterusnya dalam kehidupan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saarani memaklumkan seramai 266 penerima terdiri daripada pelajar, guru, sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah menerima pengiktirafan atas pencapaian sepanjang tahun 2025.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan berharap penghargaan tersebut menjadi pendorong untuk mereka terus memperbaiki diri dan melangkah lebih jauh pada masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


