KUALA LUMPUR – Seramai 68,191 pencari kerja Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya ditempatkan dalam sektor swasta sejak 2023 hingga 31 Mei lalu berdasarkan statistik PERKESO.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ia termasuk golongan neurodivergen seperti autisme, Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), disleksia serta peserta Program Return To Work (RTW),
“Daripada jumlah itu, seramai 3,605 orang atau 5.3 peratus adalah pencari kerja OKU di Sabah. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melihat agenda pemerkasaan OKU bukan sekadar keperluan sosial tetapi komponen strategik dalam pembangunan modal insan negara.
“Melalui jabatan dan agensi di bawah KESUMA, pelbagai strategi dilaksanakan bagi membantu golongan OKU memperoleh akses kepada peluang pendidikan, latihan kemahiran dan pekerjaan yang bersesuaian, sekali gus memenuhi keperluan pasaran buruh negara,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) mengenai langkah kerajaan memperkasakan akses pendidikan, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan OKU khususnya di Sabah.
Ramanan berkata, daripada aspek pendidikan dan latihan, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) menyediakan peluang mengikuti latihan kemahiran di institusi seperti Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) dan Proton Institute kepada semua pemohon yang layak termasuk OKU.
Katanya, pelajar OKU di institusi berkenaan turut menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM300 sebulan selain menikmati pengecualian yuran pengajian serta kemudahan asrama dan makan minum secara percuma.
Beliau berkata, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pula menyediakan laluan latihan dan pensijilan menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), termasuk peluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM).
“Individu yang mempunyai pengalaman kerja juga boleh mendapatkan pengiktirafan kemahiran menerusi kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT),” katanya.
Dari aspek kebolehpasaran, beliau berkata, PERKESO menyediakan perkhidmatan pemadanan pekerjaan, khidmat nasihat kerjaya, Career Launchpad Programme (CLP) OKU, Karnival Kerjaya OKU serta program advokasi kepada majikan melalui portal MYFutureJobs.
Selain itu Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut menyediakan platform MyMAHIR.my yang dilengkapi ciri kebolehcapaian bagi membantu golongan OKU mendapatkan maklumat berkaitan laluan kerjaya dan latihan yang bersesuaian.
“Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) juga melaksanakan Program Latihan MADANI bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran golongan OKU,” katanya. – MalaysiaGazette


