IPOH – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, pada rabu atas kesalahan mengedar dadah pada awal Ogos lalu.
Tertuduh, Teoh Wai Loon, 44 dan Lim Suk Pei, 38 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan kedua-dua mereka didakwa secara bersama mengedar 480.60 gram dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di dalam bilik di sebuah premis di Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari, dalam daerah Kinta, kira-kira jam 10.30 malam, pada 4 Ogos 2026.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, dan dikenakan hukuman tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira sementatra tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk proses perbicaraan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri antara tujuh individu ditahan dalam empat serbuan berasingan di Ipoh dan Tapah, membabitkan rampasan dadah bernilai lebih RM538,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Suami isteri antara tujuh ditahan terlibat sindiket pengedaran dadah, rampasan RM794,827
.


