Sultan Nazrin berkenan rasmi SMK Proton City

TANJONG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City di sini, hari ini.

Baginda turut melawat pameran mengenai sekolah itu, selain menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

SMK Proton City siap sepenuhnya pada 25 Disember 2017 dan mula beroperasi pada 5 Februari 2018.

Sekolah itu yang mempunyai 29 kelas, menempatkan seramai 660 murid, 62 guru serta tujuh kakitangan sokongan.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam buku penghargaan perasmian itu berkata, pendidikan adalah pintu gerbang menuju galaksi pengetahuan yang tiada penghujungnya.

“Makanya, proses pencarian pembinaan serta pengumpulan ilmu wajib dijadikan budaya penerokaan yang bersifat membina otak dan watak.

“Ekosistem harmoni yang diterjemahkan dalam rangka Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera adalah aspirasi yang akan mengangkat darjat kemuliaan (karamah insaniah) seluruh warga pendidikan, warga sekolah dan murid-murid keseluruhannya.

“Justeru, penerapan nilai dan akhlak adalah tunjang kepada pembentukan diri seseorang murid secara holistik selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Fadhlina menambah, besar harapan beliau agar warga pendidikan terus istiqamah membawa watak pendidik dalam membangunkan serta melahirkan anak bangsa yang tinggi sopan dan susilanya, mulia pekertinya serta adab. – MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI