Sultan Perak berkenan rasmi Jambatan Sultan Nazrin Shah

BAGAN DATUK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmi dan memasyhurkan Jambatan Bagan Datuk sebagai Jambatan Sultan Nazrin Shah. 

Turut mengiringi keberangkatan baginda pada jam 10 pagi ke majlis, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. 

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah; serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri  Alexander Nanta Linggi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat pada majlis perasmian Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 OKTOBER 2023

Terdahulu pada majlis, Sultan Nazrin berkenan melafazkan titah sebagai kemuncak acara sebelum berangkat menyaksikan simulasi penyelamatan di air di atas jambatan yang menghubungkan antara daerah Bagan Datuk dan Perak Tengah itu. 

Simulasi yang berlangsung kira-kira 20 minit itu dilakukan 140 anggota daripada pelbagai pasukan unit beruniform antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia).  

Jambatan Sultan Nazrin Shah yang sebelum ini dikenali sebagai Jambatan Bagan Datuk mula dibuka kepada pengguna kenderaan awam pada 1 Jun lalu. 

Jambatan sepanjang 1.5 kilometer (km) merentasi Sungai Perak itu memberi manfaat kepada lebih 70,000 penduduk setempat apabila ia menjimatkan masa penduduk untuk ke pekan berhampiran. 

Ia dianggarkan mengambil masa hanya 15 minit berbanding sejam bagi penduduk setempat untuk ke pekan kwcilt di kedua-dua daerah iaitu di Bagan Datuk dan Perak Tengah. 

Jambatan Sultan Nazrin Shah itu memendekkan perjalanan dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung-kampung lain yang berdekatan ke Kampung Kayan, Seri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada, Sitiawan, Manjung dan Lumut. – MG Perak. 

 

BACA SETERUSNYA: Sultan Nazrin berkenan rasmi SMK Proton City

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI