Perak sedia tampung kos naik taraf surau, kantin SRAR Al-Siddiq

SERI ISKANDAR – Kerajaan Perak bersedia untuk menampung kos menaik taraf surau dan kantin Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Siddiq di Taman Seri Iskandar, di sini dengan jumlah RM400,000. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sementara cadangan bagi pembinaan bangunan kelas baharu dua tingkat yang berjumlah RM2.5 juta akan dipanjangkan kepada Jabatan Kemajuan Islam melalui menteri bertanggungjawab, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

“Saya harap permohonan untuk pembinaan bangunan kelas baharu itu dapat disegerakan surat rasmi berserta pelan, yang mana kemudian saya akan cuba berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im dalam hal itu. 

“Pada waktu sama, bagi permohonan menaik taraf surau dan kantin, saya harap pihak pengurusan sekolah dapat segerakan surat permohonan rasmi, supaya kita boleh bantu untuk menampung peruntukkan berkenaan.

“Sementara menunggu bangunan kelas baharu itu hendak siap nanti, boleh kita jalankan dahulu kerja-kerja menaik taraf surau dan kantin itu nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi taklimat semasa mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Siddiq bersempena dengan Program Mesra di Daerah Perak Tengah, di sini, pada Isnin. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah.

Terdahulu dalam sesi sama, Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah, Zon Huri meminta pihak kerajaan untuk membantu sekolah rendah agama itu terutama bagi menyelesaikan masalah kepadatan murid. 

Katanya perkara itu diusulkan susulan Sekolah Kebangsaan Iskandar Perdana (SKIP) yang terletak kira-kira 200 meter dari sekolah rendah agama itu berkemungkinan akan mengadakan satu sesi persekolahan sahaja berbanding dua sesi seperti biasa selepas ini. 

“Permohonan ini dibuat disebabkan SKIP berkemungkinan akan menjalani satu sesi persekolahan sahaja selepas ini. 

“Sekiranya hal ini berlaku, SRAR Al-Siddiq tidak dapat menampung kuota murid sedia ada memandangkan sekolah  hanya ada enam kelas sahaja. Sehubungan itu, prasarana lain seperti kantin perlu ditambah baik,” katanya. 

Saarani, kemudian menjelaskan kesediaan kerajaan negeri untuk membantu sekolah rendah agama itu sebagai usaha bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan murid untuk mendapatkan pendidikan agama Islam yang lebih mendalam. 

SRAR Al-Siddiq yang mula beroperasi pada tahun 2012 kini mempunyai murid seramai 564 orang yang kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan perumahan berhampiran. 

Selain itu, terdapat seramai 12 guru yang terlibat bagi dua sesi pembelajaran iaitu sesi pagi dan sesi petang di sekolah rendah agama berkenaan. – MalaysiaGazette

BACA SETERUSNYA: Sultan Perak berkenan rasmi Jambatan Sultan Nazrin Shah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI