Tiga lagi PPS dibuka di Perak selepas hujan lebat dan ribut

IPOH – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Perak, selepas hujan lebat beserta ribut melanda beberapa daerah di negeri ini bermula petang hingga malam semalam.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pembukaan tiga PPS berkenaan melibatkan sebuah di daerah Hulu Perak dan dua buah di daerah Kinta.

Menurut JPBN Perak, seramai 24 mangsa daripada lapan keluarga melibatkan tujuh kampung ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik di daerah Hulu Perak.

“Kesemua mangsa yang ditempatkan merupakan penduduk dari Kampung Kolam Air, Kampung Bendang Kerajaan, Kampung Tanjung Kala, Kampung Ulu Kenderong, Kampung Padang Kunyit, Kampung Padang dan Kampung Ramasamy.

“Sementara itu, empat mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Meru 2A, Ipoh selepas kediaman mereka terjejas akibat ribut petang semalam.

“Seramai 19 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Sri Kinta pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai, Kampung Sri Kinta, selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran hujan lebat dari petang hingga malam tadi,” katanya.

Mengulas lanjut, JPBN Perak berkata, empat buah PPS dengan masing-masing dua di daerah Hilir Perak dan dua di daerah Kerian masih dibuka dan menempatkan mangsa banjir.

“Seramai 113 mangsa daripada 34 keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala 29 orang daripada tujuh keluarga di tempatkan di Dewan Serbaguna Chikus bagi daerah Hilir Perak.

“Bagi daerah Kerian pula seramai 23 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala 57 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.

Tambahnya, sehingga jam 8 pagi pada Selasa, seramai 269 mangsa daripada 80 keluarga ditempatkan di tujuh PPS melibatkan tiga daerah di negeri ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir kilat Gerik: 25 rumah dan empat rumah kedai dinaiki air

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI