Tiga nelayan warga Myanmar ditahan langgar peraturan

LUMUT – Tiga nelayan asing warga Myanmar bersama bot tempatan kelas B ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) di perairan Lumut, kerana melanggar peraturan di bawah Akta Perikatan dan Akta Imigresen pada Isnin.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata ketiga-tiga tekong dan kru itu ditahan pada kedudukan 4.6 batu nautika barat laut dari Pulau Talang, di sini, sekitar jam 11 pagi.

Katanya, ketika itu APMM sedang melakukan rondaan rutin Ops Pintas / Op Sayong dan Op Tiris di kawasan perairan negeri sebelum mengesan sebuah bot yang mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 33 hingga 36 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tekong gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, beroperasi kurang daripada 5 batu nautika serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar Mohd Hambali, kesemua mereka, bot bersama hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan telah dirampas sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh dan diserah kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu beliau berkata APMM menegaskan kepada masyarakat untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil.

“Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya lagi. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI