BAGAN DATUK – Perak sedang berada di peringkat akhir bagi pengoperasian semula Terminal Feri Antarabangsa dan Jeti Kargo di Pelabuhan Hutan Melintang, dekat sini yang dihentikan sejak tiga tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini perkara berkenaan berada di peringkat akhir tindakan yang melibatkan antaranya Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.
Katanya, ia terminal feri dan jeti kargo itu dijadual akan beroperasi secara rasmi pada April tahun hadapan.
“Kita sudah ada Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Pejabat Jabatan Imigresen, Pejabat Jabatan Kastam dan sebagainya di situ.
“Walaupun ia bukanlah satu pelabuhan yang seumpanya dengan pelabuhan lain, iaitu seperti jeti biasa, akan tetapi segala keperluan untuk mendarat secara sah di kawasan itu disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Khamis.
Selain itu, Saarai berkata beliau yakin bahawa pembukaan semula pelabuhan itu mampu membantu ke arah pertumbuhan pembangunan Daerah Bagan Datuk.
“Dengan itu bermakna kargo-kargo dari luar negara dapat mendaratkan hasil laut di pelabuhan. Pada waktu sama akan beroperasi di situ adalah feri-feri yang menghubungkan Bagan Datuk dengan Indonesia,” katanya.
Jeti Kargo berupaya menjalankan pengimportan hasil laut dan hasil pertanian untuk pasaran dalam negara serta diproses untuk diekport ke negara lain.
Komoditi lain seperti beras, minyak, kelapa dan kayu diproses juga didagang melalui jeti tersebut antaranya melibatkan Indonesia, Thailand dan Myanmar.
Sementara Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di Bagan Datuk menjadi tumpuan warga Indonesia yang bekerja di negara ini untuk pulang ke kampung halaman menuju Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia.-MG Perak
Artikel Berkaitan:
Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang dijangka beroperasi Mac 2024
[…] Tindakan buka Pelabuhan Hutan Melintang di peringkat akhir […]