IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan kedatangan 150,000 pelancong termasuk dari luar negara khususnya melibatkan rantau ini ke bandar raya berkenaan bersempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Oleh itu, MBI melalui Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tujuh pihak berkuasa tempatan termasuk dua dari negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia, malam tadi.
PBT yang terlibat adalah Hatyai Municipality Thailand, DPR Acheh Indonesia, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Kedah, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) Perlis, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Kampar (MDK), serta Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).
Rumaizi menandatangani MoU berkenaan bersama-sama Timbalan Datuk Bandar Hatyai, Prof Dr. Wichai Kanchanasuwan; Ketua Komisi II DPR Aceh, Khairil Syahrial; Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud; Yang DiPertua MPK, Norazlan Yahaya; Yang Dipertua MPKK, Dr. Sakduddin Zamli; Yang Dipertua MDK, Ahmad Suqairy Alias; serta Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli.
Rumaizi berkata, inisiatif digerakkan sebagai usaha merancakkan lagi promosi produk pelancongan mesra muslim yang turut membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia melalui Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Jelas beliau pelaksanaanya juga selari dengan kempen Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 serta TMP 2024.
“Apa yang penting adalah kita mahu promosi produk pelancongan kita mampu menembusi pasaran di Indonesia dan Thailand, khususnya dalam konteks pelancongan mesra muslim.
“Sekiranya tiada kerjasama dalam usaha ini, hubungan antara tiga negara ini tidak kukuh. Namun, sebaliknya jika kita bekerjasama, sektor pelancongan terhadap tiga negara ini akan mampu diperhebatkan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Jamuan Makan Malam bersempena Majlis Menandatangani MoU Pelancongan Mesra Muslim di Hotel M Roof, di sini, malam tadi.
Hadir menyaksikan majlis adalah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Pengarah Centre for Indonesia-Malaysia-Thailand (CIMT), Firdaus Dahlan; Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) Datuk M Nasir serta Ketua Pegawai Eksekutif MalaysiaGazette, Noraini Abd Razak.
Selain itu, tambah Rumaizi, Bandar Raya Ipoh sememangnya terkenal dengan tarikan produk-produk pelancongan tempatan khususnya yang berkonsepkan mesra terhadap pengunjung muslim.
Pada masa sama, Kanchanasuwan berpandangan MoU yang ditandatangani itu juga dilihat mampu mengeratkan lagi hubungan tiga negara itu atas semangat negara anggota ASEAN.
“Melalui kerjasama ini, saya melihat ia mampu memberikan kebaikan dan kelebihan kepada Thailand, Malaysia dan Indonesia khususnya dalam soal mempergiatkan lagi promosi pelancongan.
“Saya yakin ketiga-tiga negara ini mampu bekerjasama demi kemakmuran yang mahu kita kecapi bersama,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] TMP 2024: MBI sasar 150,000 pelancong dalam dan luar negara […]