Tragedi runtuhan Gunung Cheroh ibarat igauan ngeri

IPOH – Tragedi runtuhan batu kapur Gunung Cheroh di Jalan Raja Musa Aziz di sini, ibarat igauan ngeri bagi waris, apatah lagi buat mangsa yang terselamat meskipun peristiwa berkenaan telah berlalu selama 50 tahun lalu.

Lebih memilukan, kejadian berkenaan berlaku ketika penduduk yang mendiami berhampiran dengan kaki gunung itu dalam suasana persiapan bagi menyambut perayaan Deepavali, namun dalam sekelip mata ia bertukar menjadi peristiwa hitam yang meragut 40 nyawa.

Mangsa tragedi, Joyah Mohd Saad, 61, berkata dia tidak pernah menjejakkan kaki ke lokasi kejadian yang berhampiran dengan Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar itu kerana masih mengenangkan tragedi yang telah mengorbankan dua ahli keluarganya.

Mangsa runtuhan Joyah Saad 61, pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

Mengimbau kembali kejadian itu, Joyah berkata, dia kehilangan bapa dan kakaknya yang sehingga ke hari ini jasad dua insan tersayangnya itu masih belum ditemui akibat tertimbus di bawah runtuhan batu.

“Ketika kejadian hujan sangat lebat dan rumah kami ditimpa batu serta pokok besar. Akibat daripada itu, bapa dan kakak saya tidak dapat diselamatkan. Bagaimanapun, saya dan ibu sempat menyelamatkan diri.

“Selepas kejadian itu, selama berbulan-bulan saya asyik menangis dan merasakan tidak kuat untuk menjejakkan kaki ke sini. Ini adalah kali pertama saya datang ke sini dan rasa sangat sedih.

“Hari ini, saya kembali menjejakkan kaki ke sini sebab saya dijemput oleh penganjur, akan tetapi saya tidak pasti sama ada malam ini saya boleh tidur nyenyak atau tidak kerana bimbang akan teringat kembali peristiwa runtuhan itu,” katanya.

Orang ramai melawat pameran pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh: 50 Tahun Dalam Ingatan di Kawasan Lapang Gunung Cheroh di Jalan Raja Musa Aziz, di sini, pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan, dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembahan Arkib Negara, Mokhtaruddin Lamsin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M.Thulsi Thivani.

Sementara itu, waris mangsa tragedi, V. Krishnamah, 74, turut berkongsi rasa sama di mana peristiwa runtuhan Gunung Cheroh itu mengorbankan sembilan ahli keluarga termasuk emaknya.

Waris mangsa V Krinamah 74, ketika upacara memperingati pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

Katanya, ketika kejadian, dia yang berusia 24 tahun itu sedang berada di Bandar Ipoh bagi membeli barang kelengkapan untuk menyambut perayaan Deepavali.

Namun Krishnamah berkata, keterujaan yang dirasainya ketika itu bertukar menjadi sedih sebaik pulang ke rumah dan mendapati ahli keluarganya terlibat dalam peristiwa hitam itu.

Menurutnya, setiap tahun dia dan ahli keluarga yang lain akan ke kawasan kejadian bagi mengadakan upacara memperingati sembilan anggota keluarganya yang terkorban.

Waris mangsa V Krinamah 74, pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

“Pada awal memang saya tidak mahu ke sini sebab akan terkenangkan ahli keluarga saya yang terkorban, namun, setelah lama sedikit, baru saya ada kekuatan untuk ke sini bersama dengan anak-anak.

“Setahun sekali kami memang akan ke sini untuk mengadakan upacara memperingati mereka yang pergi. Namun setiap kali itu juga, hati saya akan berasa sayu dan sebak,” katanya.

Pada 18 Oktober 1973, berlaku runtuhan bongkah batu kapur di Gunung Cheroh sehingga meragut 40 nyawa yang tinggal di sekitar kaki gunung berkenaan.

Orang ramai melawat pameran pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

Susulan tragedi hitam seminggu sebelum sambutan perayaan Deepavali itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menempatkan semula kesemua penduduk di situ ke sebuah penempatan baharu yang kini dikenali sebagai Kampung Kacang Puteh di Buntong.

Difahamkan kejadian pada tahun 1973 itu, merupakan peristiwa runtuhan batu ketiga selepas insiden runtuhan batu kapur pada skala kecil sekitar tahun 1927 dan 1940 di Gunung Cheroh.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kejadian itu antaranya gegaran daripada bunyi keretapi yang berhampiran, pencemaran bunyi daripada kerja-kerja letupan kuari serta kekerapan hujan. – MG Perak

BACA SELANJUTNYA:

MGPerak: Tragedi Runtuhan Gunung Cheroh Ibarat Igauan Ngeri

14 rumah ibadat di gua batu kapur belum diwartakan – Exco Perak

MGPerak: Tragedi Runtuhan Gunung Cheroh Ibarat Igauan Ngeri

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI