UTR perkasa landskap kewangan Islam, tumpu bidang takaful

KUALA KANGSAR – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) melancarkan USAS Takaful Repository (UTR) bagi memperkasakan landskap kewangan Islam dengan menumpukan bidang takaful sebagai teraju utama.

Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, penubuhan UTR oleh USAS Takaful Academy bersama FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) itu adalah bukti komitmen USAS untuk memajukan nilai ilmiah dan memupuk inovasi dalam bidang kewangan Islam, khususnya takaful.

Menurutnya, UTR akan berfungsi sebagai pusat pengetahuan, penyelidikan, dan sumber rujukan, mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam tentang prinsip takaful, amalan, dan kesan terhadap pentas ekonomi global.

“Ia akan menjadi platform dinamik yang melibatkan ahli akademik, pengamal industri, dan pembuat dasar, untuk memperkayakan pemahaman yang kolektif dan memudahkan pertumbuhan sektor penting ini.

“Repositori ini akan menyediakan maklumat untuk pelajar, ahli akademik, penyelidik takaful, pengamal industri takaful dan juga untuk orang awam yang mempunyai minat serta kecenderungan terhadap takaful,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, UTR boleh diakses secara percuma oleh komuniti akademik global dan orang awam.

Katanya, ia mempromosikan akses terbuka kepada penyelidikan ilmiah dan sumber-sumber rujukan terkini oleh segenap lapisan masyarakat.

“UTR berusaha dalam mengekalkan modal intelektual untuk generasi akan datang dengan menyimpan bahan penyelidikan serta memastikan ia dapat diakses dan tersedia dalam jangka masa panjang.

“Pada masa sama, UTR turut berfungsi sebagai platform menghubungkan penyelidik dari pelbagai bidang untuk berkongsi hasil kajian dan berinteraksi dengan pelayar internet serta membantu meningkatkan pengiktirafan dan pengaruh penyelidikan mereka.

“Selain itu, ia memudahkan penyelidikan antara bidang dan perbahasan terhadap masalah dengan mengumpulkan pakar dari bidang yang berbeza, menggalakkan kerjasama dan pertukaran pengetahuan.

“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan reputasi dan menunjukkan komitmen institusi terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi penyelidikan,” ujarnya.

Wan Sabri berkata, secara ringkasnya UTR memainkan peranan penting dalam mempromosikan akses terbuka, menyedia sumber pengetahuan terkini, meningkatkan impak penyelidikan, mendorong kerjasama, dan mempamerkan kecemerlangan institusi dan penyelidiknya. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI