Wanita maut, kenderaan rempuh lori sedang mengundur

TELUK INTAN – Seorang wanita maut manakala dua individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua kenderaan lain di Kilometer (km) 156.9 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), arah selatan, di sini, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kenderaan utiliti sukan (SUV) itu dipercayai berlaku ketika sebuah lori sedang mengundur di tapak pembinaan rehat dan rawat (R&R) Teluk Intan di lebuh raya berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun sedang mengundur di susur keluar tapak pembinaan R&R Teluk Intan di lebuh raya berkenaan.

“Ketika itu, sebuah Toyota Vellfire melanggar bahagian hadapan kanan lori terbabit sebelum terbabas ke laluan kanan jalan di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Kok Lian berkata, sebuah lagi kenderaan jenis Honda HR-V yang datang dari arah sama kemudian tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang Toyota Vellfire yang berada di laluan kanan.

“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Toyota Vellfire disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kenderaan sama dan Honda HR-V mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya lagi.

Menurut beliau, pemandu lori berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala saringan awal air kencing terhadapnya didapati negatif.

“Bagaimanapun, sampel darah pemandu berkenaan telah diambil untuk ujian toksikologi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Menurut Kok Lian, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd Manan di talian 011-10065817 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, berwaspada dan mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Satu maut, dua cedera nahas tiga kenderaan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI