TANJUNG MALIM – Hasrat seorang graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini mahu menghadiahkan bapanya segulung ijazah tidak kesampaian apabila menerima perkhabaran pemergian insan tercintanya itu sehari sebelum Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-25 berlangsung.
Juline Ulana, 24, berkata perkhabaran duka itu diterima dari ahli keluarganya sebaik sahaja dia bersama emak, Randisah Malonggin, 60, dan abangnya, Julian Ulana, 27, baru sahaja tiba di Tanjung Malim dari Ranau, Sabah, pada Selasa.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak itu berkata, sukar untuk dia menggambarkan perasaannya sehingga kini selain menyifatkan berita pemergian bapanya itu meninggalkan kesan mendalam terhadapnya.
Juline berkata, bapanya, Ulana Monteri, 64, yang menghidap barah hidung tahap empat sejak tahun 2018 itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu sekitar jam 3.30 petang.
“Sepatutnya saya memang hendak bawa dia sekali ke sini untuk meraikan saya menerima segulung ijazah. Dan untuk itu, saya sudah pun membeli tiket penerbangan untuknya pada bulan lalu.
“Akan tetapi faktor kesihatanya semakin merosot dan tidak dapat untuk datang. Amat menyedihkan apabila tiba sahaja kami di sini, ayah saya sudah tiada,” katanya.
Juline berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, dekat sini, pada Rabu.
Ia disempurnakan dengan keberangkatan Canselor UPSI Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff serta barisan Exco Kerajaan Negeri.
Selain itu, Juline menambah, selepas menamatkan pengajiannya pada Julai lalu, dia bekerja sambilan dengan mengambil upah sebagai pembantu di sebuah hotel dan restoran di Tanjung Malim demi menghadiri istiadat konvokesyen itu.
“Sepatutnya saya sudah membeli tiket penerbangan pulang untuk kami sekeluarga termasuk ayah saya untuk berlepas pada Jumaat ini.
“Namun nampaknya kami terpaksa bergegas pulang ke Ranau malam ini juga bagi menghadiri upacara pengembumian ayah saya di kampung,” katanya dengan nada sebak. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendidik harus dedahkan anak didik realiti kehidupan – Raja Permaisuri Perak