Hujan berterusan: Paras air empangan di Perak terkawal – Exco

PASIR SALAK – Paras air di semua empangan utama di Perak termasuk Empangan Temenggor dan Chenderoh berada dalam keadaan terkawal meskipun beberapa daerah kini dilanda banjir susulan hujan lebat  berlarutan sejak Khamis.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pelepasan air hanya akan dilakukan secara terkawal sekiranya paras air meningkat melepasi kapasiti.

Katanya, bagaimanapun ia akan dilaksanakan selepas menerima laporan dan nasihat teknikal daripada pihak berkaitan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Setakat ini, paras air di empangan-empangan utama di Perak masih dalam kawalan dan tidak melebihi paras bahaya.

“Jika hujan berterusan dalam tempoh yang lama, pelepasan air akan dibuat sedikit demi sedikit dan bukan sekaligus. Ini bagi mengelak sebarang kesulitan penduduk yang berada di kawasan berhampiran jajaran sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 di Kompleks Desa Warisan Institut Agro Usahawan (IGROW) Kampung Gajah, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Mustaffa Kamil Ayub serta Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah merangkap Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek.

Selain itu Mohammad Nizar berkata, semua agensi teknikal telah digerakkan bagi memantau keadaan cuaca serta aliran sungai dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko banjir genang atau termenung.

“Sekiranya berlaku hujan luar biasa, JPS bersama dengan pejabat daerah dan tanah akan  menempatkan pam air bergerak mengikut keperluan kawasan terjejas banjir,” katanya.

Pada masa sama, Mohammad Nizar memberi jaminan bahawa semua agensi berkaitan di peringkat negeri dan pusat kini berada dalam kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk proses pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika diperlukan.

“Penduduk tidak perlu bimbang. Sekiranya hujan berterusan, kerajaan negeri akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia).

“Kesemua aset negeri dan persekutuan juga telah disiap-siagakan bagi membantu penduduk di kawasan berisiko banjir,” katanya lagi.

Terdahulu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, seramai 2,200 orang yang melibatkan 756 buah keluarga terjejas dengan kejadian banjir di tiga daerah, setakat jam 12 tengah hari.

Kesemua mereka berlindung di 23 PPS yang diaktifkan di daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Manjung serta Perak Tengah. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: 1,776 mangsa dipindahkan ke 23 PPS di LMS, Manjung

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI