IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengukuhkan kedudukan sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa melalui kolaborasi strategik bersama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, Kerjasama PUO–ACCA ini membuktikan bahawa TVET di Malaysia mampu memenuhi piawaian antarabangsa, khususnya dalam bidang perakaunan, analitik data dan kelestarian.
Menurutnya, pengiktirafan melalui Sijil dalam Data Analisis (CertDA) dan Sijil dalam Kelestarian untuk Kewangan (CertSF) menandakan bahawa pelajar PUO dipersiapkan dengan kemahiran digital, kemampuan mentafsir data serta pemahaman mendalam tentang amalan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang semakin menonjol dalam landskap korporat global.
“Dunia perakaunan moden kini tidak lagi tertumpu kepada aspek debit dan kredit semata-mata. Profesion ini menuntut tenaga kerja yang strategik, celik data dan peka terhadap isu kelestarian.
“Kombinasi Diploma Perakaunan dan Perniagaan (DiAB), CertDA dan CertSF ini menjadi ramuan penting dalam melahirkan graduan yang future-proof, berdaya saing dan mampu menyesuaikan diri dalam dunia profesional yang semakin kompleks serta dipacu digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar bagi meraikan kejayaan pelajar CertDA dan CertSF di PUO Kampus Bercham, baru-baru ini.
Salmi turut menegaskan kepentingan mengaplikasikan ilmu analitik data dalam membuat keputusan yang tepat serta menerapkan prinsip kelestarian dalam setiap amalan kewangan.
“Sijil yang digenggam bukan sekadar pengiktirafan akademik, ia adalah ‘passport’ untuk melangkah ke dunia profesional dengan penuh keyakinan kerana graduan yang diiktiraf pada hari ini adalah aset bernilai kepada industri moden.
“Saya yakin produk keluaran PUO yang bekerjasama dengan ACCA ini mampu menjadi pemimpin industri masa hadapan,” ujarnya.
Seramai 55 pelajar dari Jabatan Perdagangan PUO telah menyertai Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) –ACCA.
Daripada jumlah itu, 39 pelajar (Batch 1) telah berjaya menamatkan CertDA dan kini mengikuti CertSF, manakala 16 pelajar (Batch 2) sedang mengikuti kedua-dua pensijilan secara serentak.
Dalam masa yang sama, 30 pelajar turut terpilih mengikuti Program Dual Diploma tajaan ACCA dan 13 daripadanya telah menduduki peperiksaan Asas Kewangan Perakaunan (FFA) manakala, lima lagi berjaya lulus dengan cemerlang.
Kesemua mereka menerima token penghargaan daripada ACCA yang disampaikan Education Relationship Lead, ACCA Maritime SouthEast Asia, Ang Wen How. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


