Kursus fahami bacaan dalam solat, perkasa jiwa ketaqwaan warga UPSI

TANJUNG MALIM – Kursus Fahami Bacaan Dalam Solat anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan inisiatif berterusan memperkukuh penghayatan ibadah dalam kalangan kakitangan Islam universiti itu, selari dengan Aspirasi UPSI 3.0 yang menekankan pembentukan jiwa ketaqwaan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganjuran kursus yang disertai 60 kakitangan itu diadakan berikutan dapatan penyelidikan yang menunjukkan keperluan memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap makna bacaan dalam solat.

“Apabila makna bacaan solat difahami dan dihayati, ia membina kesedaran dalaman, integriti serta nilai kepimpinan diri.

“Ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir ketika membentangkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menekankan pembangunan insan holistik merangkumi kecemerlangan intelek, rohani dan sahsiah,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Md Amin, kumpulan penyelidik UPSI menerusi Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IFurqan) dalam satu kajian mendapati hampir 90 peratus pelajar di sebuah universiti serta beberapa sekolah menengah tidak memahami makna bacaan dalam solat termasuk Surah al-Fatihah.

Akademia Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) , Prof Madya Dr Ibrahim Hasim berkata dapatan penyelidikan ini memberi isyarat jelas bahawa kefahaman terhadap bacaan solat masih berada pada tahap yang perlu diberi perhatian serius.

Justeru, katanya, UPSI mengambil tanggungjawab untuk memulakan perubahan melalui pendidikan dan latihan yang lebih tersusun.

Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti ibadah individu, malah membentuk keperibadian holistik yang mampu diterjemahkan dalam budaya kerja dan kehidupan seharian.

Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata penganjuran kursus tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan universiti yang menekankan keseimbangan antara profesionalisme dan nilai spiritual.

Kursus yang menekankan elemen amali dan perbincangan kumpulan kecil itu, katanya, membolehkan peserta bukan sahaja memahami teks bacaan, malah menghayati falsafah serta aplikasi nilai solat dalam kehidupan seharian dan tugasan rasmi.

Katanya, kursus itu bertujuan membantu peserta memahami makna bacaan dalam solat sebagai asas pelaksanaan ibadah yang berkesan, menghayati falsafah solat dalam konteks tugas dan kehidupan serta memperoleh kesempurnaan solat.

Pelaksanaannya merangkumi kaedah membaca zikir, doa dan ayat al-Quran dalam solat, memahami makna bacaan, menghayati makna dan falsafahnya serta latihan dalam kumpulan (amali) melalui perbincangan dalam kumpulan.

Menurut Helmi Zaifura, kursus menggunakan modul karya akademia UPSI sendiri iaitu dari Fakulti Sains Kemanusiaan,
Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Pusat Islam UPSI.

M odul pengajaran mengandungi Mukadimah dan Surah al-Fatihah; Takbiratul Ihram serta bacaan ketika ruku’, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud; Tahiyyat dan salam; Surah al-Dhuha dan al-Insyirah; Surah al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan al-’Asr; serta doa-doa sebelum salam dan selepas solat.

“Siri seterusnya akan diteruskan secara berperingkat dalam tahun ini bagi memastikan manfaat kursus dapat diperluas kepada seluruh kakitangan Islam universiti,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI