GOPENG – Beberapa penerima bantuan baucar bernilai RM400 menerusi Program Jom Raya di bawah inisiatif Sejahtera MADANI berasa teruja dan gembira kerana ia dapat meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Seorang penerima, Muhammad Izzudin Mohd Arshad, 31, berasa syukur kerana kali pertama terpilih untuk menerima bantuan tersebut.
Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bercadang untuk menggunakan baucar tersebut bagi membeli pakaian Raya untuk dua orang anaknya.

“Saya sangat berterima kasih kerana menerima bantuan baucar RM400 ini. Sebab ia boleh tolong ringankan beban saya sedikit untuk beli barang-barang Hari Raya.
“Ini baru pertama kali saya dapat baucar kerana sebelum ini memang saya tak pernah dapat. Jadi saya bersyukur sangat dan harap tahun depan dapat lagi,“ katanya.
Warga emas, Maharom Umor, 86, turut gembira menerima bantuan itu dan merancang untuk menggunakan baucar tersebut untuk membeli barangan makanan serta pakaian Hari Raya.
“Saya gembira dan seronok sangat sebab ada orang beri bantuan. Ingat baucar itu nak beli barang makanan dan beli baju raya.

“Warna baju tidak tahu lagi. Tengoklah kalau berkenan di hati, saya beli,“ ujarnya yang ditemani anak perempuannya.
Sementara itu, bagi Nornazirah Mohd Nor, 33, seorang ibu tunggal yang menetap bersama tiga anak, bantuan itu amat bermakna terutama selepas dia baru selesai menjalani pembedahan usus.
“Baucar ini akan digunakan selepas Hari Raya untuk membeli barangan rumah dan dapur. Raya nanti kami sambut secara sederhana kerana saya masih dalam fasa pemulihan,” jelasnya.

Seramai 200 peserta eKasih terpilih menerima baucar bernilai RM400 menerusi Program Jom Raya di bawah inisiatif Sejahtera MADANI yang diadakan bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Sejahtera MADANI yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat khususnya golongan B40. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


