IPOH – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung rungutan kenaikan harga minyak khususnya diesel yang memberi kesan kepada komuniti perniagaan.
Pengerusi Biro Tugas-Tugas Khas DPMM Perak, Azizul Kama Abd Aziz berkata, setakat ini belum ada perbincangan khusus diadakan dalam kalangan ahli dewan mengenai perkara tersebut kerana hala tuju perbincangan masih di peringkat awal.
Menurutnya, situasi semasa turut dipengaruhi oleh faktor geopolitik global geopolitik tidak menentu kesan konflik Asia Barat.
“Buat masa ini kita masih lagi tunggu dan lihat kerana hala tuju kita masih lagi di peringkat awal. Sepertimana kita tahu, keadaan geopolitik semasa agak rumit dan agak runcing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Bantuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan India Muslim (PRIM) Perak di Dewan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Tasek di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Azizul Kama berkata, beliau yakin kerajaan mampu menangani isu berkenaan dengan baik.
“Tapi saya yakin kerajaan akan menangani perkara tersebut dan sebagai ahli dewan, kita akan menyambut seruan berjimat cermat dan sebagainya oleh Perdana Menteri,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


