IPOH – “Di Malaysia ini tiada siapa yang hendak perang dan kita jangan perang sesama sendiri,“ kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, situasi tersebut perlu dielakkan lebih-lebih lagi ketika dunia berdepan ketegangan konflik di Asia Barat yang memperlihatkan bagaimana perpecahan boleh membawa kepada kehancuran.
“Orang Iran barangkali tak mahu perang, tetapi orang Amerika Syarikat memerangi dia dan begitu juga orang Palestin tak nak perang, tetapi orang Israel memeranginya.
“Allah turunkan sesuatu musibah kepada suatu umat lain bukan hanya untuk diperhatikan melainkan untuk dijadikan tauladan dijadikan pengajaran,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Majlis Berbuka Puasa Anak Muda bersama Menteri Besar Perak di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini pada Ahad.
Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin; dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Saarani turut menegaskan rakyat Malaysia tidak seharusnya terpengaruh dengan budaya kebencian atau penyebaran fitnah kerana negara ini perlu terus mengekalkan keamanan dan perpaduan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya golongan muda supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Tambahnya, penggunaan telefon pintar ketika ini ibarat senjata jika disalahgunakan, terutama apabila maklumat palsu atau fitnah disebarkan tanpa disemak terlebih dahulu.
“Dalam handphone (telefon pintar) itu ada peluru, ada racun. Kalau kita buka WhatsApp pastikan sekarang content (kandungan) WhatsApp itu adalah content yang betul, bukan fitnah. Jangan simply sebarkan fitnah itu, check (semak) dulu kalau dia bukan maklumat benar jangan forward (kongsi).
“Jadi tolonglah orang muda jangan sebar fitnah, jangan sambung fitnah, jangan buat fitnah. Orang muda tolong jadi kumpulan yang pengasih, orang muda jadi kumpulan pendamai, orang muda jadi kumpulan pemaaf,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


