Sistem subsidi diesel: Pengusaha stesen minyak terbeban

KUALA LUMPUR – Mekanisme pembayaran modal tunai untuk membeli bekalan diesel menyebabkan pengusaha stesen minyak terbeban dan ibarat menjadi pembiaya tidak rasmi disebabkan sistem yang didakwa tidak adil.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya menerima keluhan dari Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (BUMIPEDA) yang mengadu bahawa sistem tersebut menyebabkan pengusaha stesen minyak terpaksa menanggung beban kewangan yang tidak sepatutnya.

Jelas beliau, walaupun transaksi jualan berlaku secara digital dan dianggap selesai di pam, bayaran sebenar termasuk komponen subsidi hanya diterima secara tertunda (T+1 atau lebih lama).

“Dalam keadaan harga tinggi dan volum besar, kelewatan ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit pada satu-satu masa.

“Ia telah meningkatkan kebergantungan kepada pembiayaan jangka pendek serta kos kewangan tambahan.

“Beliau berkata, ini bermakna pengusaha stesen minyak perlu menanggung jurang masa antara jualan dan penerimaan tunai, sekali gus mengunci modal kerja dalam sistem,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon.

Jelas beliau, dalam skim subsidi bersasar diesel, pengusaha perlu membeli bahan api pada harga pasaran penuh, sekitar RM6.02 seliter, tetapi menjual kepada pengguna pada harga subsidi seperti RM2.15 seliter bagi diesel.

Perbezaan harga tersebut tidak terus dibayar kepada pengusaha sebaliknya dituntut oleh syarikat minyak daripada kerajaan.

Tambah beliau lagi, ia menunjukkan pengusaha stesen minyak secara efektif mendahulukan pembiayaan subsidi menggunakan modal sendiri.

“Dengan anggaran jualan 20,000 liter sehari dan keperluan stok minimum tiga hari, pengusaha perlu menyediakan sekitar RM361,200 bagi mengekalkan stok asas operasi.
“Pada masa sama, jurang subsidi sebanyak RM3.87 seliter menyebabkan pengusaha terpaksa mendahulukan modal mereka sendiri kira-kira RM77,400 sehari.

“Secara keseluruhan, pendedahan modal operasi boleh mencecah hampir RM440,000 dan akhirnya menjadikan pengusaha stesen minyak ini sebagai pembiaya tidak rasmi kepada sistem subsidi negara,” katanya lagi.

Norsyahrin yang juga merupakan Presiden Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana pengusaha stesen minyak memainkan peranan kritikal sebagai pengedar terakhir (last-mile distribution).

Justeru beliau menggesa agar struktur dan mekanisme pembelian serta pembayaran semula modal mereka perlu diperbetulkan segera dengan penyelesaian tuntas oleh kementerian berkaitan bagi memastikan tiada pihak yang teraniaya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI