IPOH – Malaysia menjadi perantara dengan menyampaikan permintaan beberapa negara Teluk kepada Iran untuk membantu meredakan ketegangan di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia turut mengadakan perbualan telefon dengan beberapa negara Arab lain, namun tidak semua perkara disampaikan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian berikutan hubungan baik Malaysia dengan negara itu.
“Dalam perbualan telefon dengan beberapa buah negara Arab yang lain dan tidak semua saya sampaikan kepada Presiden Iran, kerana mereka tahu hubungan Malaysia itu dengan Iran agak baik.
“Kita ambil pendekatan baik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait, Oman, Arab Saudi dan ini menyebabkan kita ambil pendekatan yang positif, boleh menghubungi dua-dua pihak.
“Saya sampaikan kepada Presiden Iran tentunya simpati kita, tetapi juga keprihatinan daripada negara Arab dan memohon mencari perdamaian supaya sekurang-kurangnya dalam kalangan negara-negara Arab dan Iran itu tidak terus berseteru,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan Malaysia turut berhubung dengan negara-negara Arab termasuk Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil El-Sisi bagi mendapatkan pandangan dalam mencari jalan damai.
“Kita sebagai negara sahabat menghubungi semua negara-negara Arab semalam dan sebelumnya. Ada dua kali di mana mereka menghubungi kita, Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Hussein Khalil El-Sisi dari Mesir minta pandangan kita dan kita juga minta pandangan beliau cari jalan damai.
“Saya ambil kesempatan itu juga menyatakan kepada beliau bahawa walaupun keadaan ekonomi kita meruncing, walaupun rakyat kita ada yang susah, tapi ada rakyat Malaysia yang berlapang dada sanggup mencurahkan bakti menyiapkan 20 atau 30 kontena untuk dihantar ke Gaza kerana ramai juga rakyat di Gaza yang dalam keadaan hampir kebuluran,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama Mesir untuk membenarkan bantuan tersebut melalui sempadan Rafah.
“Jadi saya minta Presiden Mesir memberi ruang supaya bantuan kontena dari Malaysia itu melepasi tembok Rafah. Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, khususnya Presiden, kerana memberi jaminan kerana untuk Malaysia beliau akan berikan segala pertolongan dan kerjasama,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Amirudin akan berunding dengan kerajaan Mesir, pihak tentera – Anwar


