IPOH – Lebih 7,000 nelayan menerima manfaat daripada inisiatif Ekonomi Biru Negeri Perak yang disokong pelaburan bernilai RM3.78 juta dalam memperkukuh infrastruktur pendaratan negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu memberi manfaat kepada mereka yang bergantung terus kepada laut, terutamanya nelayan kecil.
Katanya, dari sudut hasil, kawasan ternakan kerang telah diperluaskan kepada hampir 4,000 hektar dengan pendaratan sebanyak 15,970 metrik tan pada tahun lalu, yang memberi pulangan langsung kepada peserta tempatan.
“Dalam masa yang sama, asas kepada Ekonomi Biru ini adalah kekuatan ekosistem itu sendiri.
“Kawasan seperti Hutan Simpan Paya Laut Matang dan Kuala Gula bukan sahaja melindungi biodiversiti, malah menjadi tapak pembiakan semula jadi yang memastikan sumber laut terus lestari, di samping menyumbang kepada potensi eko-pelancongan dan karbon biru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.
Mengulas tentang isu tukun tiruan, Saarani berkata, kerajaan negeri setuju bahawa ia tidak boleh sekadar jadi projek kosmetik.
Justeru beliau berkata, sebanyak 99 unit telah dilabuhkan di perairan negeri dengan pelaburan bernilai RM1.1 juta dan dipantau pada setiap enam bulan bagi menilai keberkesanannya dari sudut ekologi serta hasil tangkapan.
“Usaha pemuliharaan juga dilaksanakan secara berterusan, termasuk restorasi 400 fragmen karang di Kepulauan Sembilan.
“Selain itu turut ia turut melibatkan pelepasan 175 induk gamat emas di Pulau Pangkor, yang disertai dengan kawalan seperti zon larangan memukat bagi memastikan keberkesanan jangka panjang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sedia jadi peneraju ekonomi biru negara


