IPOH – Pencipta kandungan dan pempengaruh di negeri ini yang memiliki idea kreatif serta perancangan projek berpotensi boleh memohon Dana Kreatif Perak bagi mengembangkan kandungan digital serta hasil kreativiti mereka.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, dana yang diberikan kerajaan negeri itu dibuka kepada kepada anak Perak yang mempunyai pengetahuan, kemahiran serta minat mendalam dalam bidang kreatif termasuk penghasilan kandungan digital.
Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan dana berjumlah RM300,000 untuk diberikan kepada individu yang layak melibatkan penggiat seni kreatif berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu seperti elemen hiburan, elemen muzik, cetakan dan yang berkaitan.
“Permohonan dana ini terbuka berdasarkan kepada kriteria tertentu. Kita akan bentuk satu panel yang akan memilih siapa yang layak.
“Kita tak boleh beri semua sebab dana agak terhad. Cuma RM300,000 saja kerajaan negeri salurkan. Tetapi Perak saja yang ada buat dana kreatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kem Belia Kreatif 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru di sini hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
Khairudin berkata, sebanyak 300 permohonan diterima bagi mendapatkan dana tersebut pada tahun lalu.
“Tapi kita tak bagi semua, kita bagi (kepada yang layak) dan jumlah (dana) berdasarkan kepada kertas kerja ataupun permohonan-permohonan yang mereka buat semasa sesi temuduga bersama dengan panel-panel itu.
“Saya lihat memang ada yang apabila kita beri (dana) dia mampu melonjakkan lagi perkembangan seni terutamanya yang melibatkan hiburan, perfileman ataupun elemen-elemen teater dan sebagainya,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
DKP pemangkin industri kreatif Perak, bantu penggiat seni realisasikan karya


