TAPAH – Rakaman kamera pengawasan hidupan liar di sekitar Gunung Batu Putih menunjukkan pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, tidak melalui laluan menuju ke Gunung Batu Bujang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, penelitian terhadap dua kad memori kamera pengawasan yang diperoleh pasukan operasi pada Sabtu mendapati tiada sebarang imej mangsa dirakam di laluan berkenaan.
Katanya, justeru itu perkembangan itu mengesahkan bahawa laluan menuju ke Gunung Batu Bujang bukan trek yang digunakan mangsa semasa melakukan pendakian.
“Bagi Kamera 2, tiada sebarang rakaman imej mangsa atau pasukan penyelamat melintasi lokasi tersebut yang menuju ke Gunung Batu Bujang pada 24 dan 25 Mei 2026. Sehubungan dengan itu, laluan ini disahkan tidak dilalui oleh mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Sayani berkata, sementara sebuah lagi kamera pengawasan ‘Kamera 1’ yang turut dipasang di kawasan sama tidak menunjukkan sebarang imej wanita berkenaan berpatah balik melintasi kamera tersebut.
“Hasil penelitian mendapati terdapat rakaman imej mangsa melintasi Kamera 1 pada jam 11.22 pagi, 24 Mei 2026.
“Turut dirakam ialah lapan anggota Special Tactical Operation and Rescue Team (STORM) dan seorang anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang melalui lokasi sama pada jam 5.15 petang, 25 Mei 2026. Tiada sebarang rakaman imej mangsa berpatah balik melintasi Kamera 1 ini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kad memori daripada dua unit kamera pengawasan hidupan liar itu telah diambil anggota Pelindung Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Jabatan Perhutanan Negeri.
Kata beliau, mereka diterbangkan dengan menggunakan pesawat AW139 ke puncak Gunung Batu Putih dan berjaya memperoleh kedua-dua kad memori pada jam 10.15 pagi sebelum ia dibawa turun pada jam 1.15 tengah hari.
Justeru beliau berkata, hasil penemuan itu turut mengukuhkan petunjuk awal pasukan penyelamat bahawa Jaslinda telah bergerak ke arah Kem Sukaneka.
Sayani berkata, terdapat dua simpang laluan selepas lokasi Kamera 1 iaitu ke Kem Sukaneka dan ke kawasan ‘water point’.
Menurut beliau, laluan ke water point telah dihalang menggunakan kayu bagi menandakan ia bukan trek pendakian yang digunakan.
“Rakaman Kamera 1 dapat menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air yang ditemui pasukan penyelamat dari awal operasi pencarian,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seorang anggota bomba mengalami kecederaan pada bahagian paha, lutut dan buku lali ketika menjalankan pencarian sejak Jumaat.
Kata beliau, anggota terbabit menyertai operasi dari Kem Kantoi menuju alur air ke Sungai Busok sebelum menyusuri sungai itu sejauh kira-kira satu kilometer namun tidak menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan mangsa.
“Pencarian kemudian diteruskan di sekitar Simpang Ite sehingga ke Puncak 2085 sebelum anggota berkenaan dibawa keluar menggunakan pesawat AW139 melalui teknik ‘winchingh’ bersama tiga lagi anggota penyelamat,” katanya.
Beliau berkata, setakat petang Sabtu, seramai 42 anggota penyelamat masih berada di lapangan dan meneruskan operasi pencarian termasuk pasukan yang bergerak dari Pos Musoh.
Jaslinda bersama 13 lagi individu dan dua MGP dilaporkan memulakan pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ pada jam 2 pagi Ahad lalu, menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Wanita itu dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, kemudian dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti.
Namun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung bersendirian dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi Ahad lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendaki hilang: 8 anggota tambahan sertai operasi SAR Gunung Batu Putih


