TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, di sini sejak Sabtu lalu, berdepan cabaran apabila komunikasi dengan pasukan penyelamat masih terputus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, gangguan komunikasi itu berlaku dipercayai akibat faktor geografi di lokasi pencarian.
“Komunikasi bersama pasukan penyelamat masih terputus dipercayai disebabkan berada di kawasan lembah dan terhalang liputan komunikasi.
“Bagaimanapun, aktiviti SAR masih dijalankan di sekitar Kem Kantoi sehingga ke Gunung Rayu oleh anggota JBPM, Jabatan Perhutanan Negeri dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sehingga jam 10 pagi tadi, seramai lapan anggota penyelamat masih berada dalam sektor pencarian dari Kem Sukaneka menuju ke Gunung Rayu.
Jelas beliau, keseluruhan operasi pada ketika ini melibatkan 24 orang anggota daripada pelbagai agensi dengan masing-masing lapan anggota daripada JBPM, Jabatan Perhutanan Negeri dan PGA.
“Pada jam 11.20 pagi, seramai enam anggota penyelamat terdiri daripada dua anggota JBPM, tiga PGA dan seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri telah dihantar ke Kem Kantoi menggunakan pesawat.
“Mereka akan mengambil keluar lapan anggota pasukan penyelamat yang berada di Kem Kantoi termasuk kumpulan yang membawa kamera pelindung di puncak Gunung Rayu,” ujarnya.
Sayani memberitahu, maklumat lanjut tentang perkembangan SAR pendaki hilang itu dijangka diperoleh selepas pasukan berkenaan berjaya dibawa keluar bersama rakaman dan data daripada kamera pelindung yang dipasang di kawasan pencarian.
“Operasi SAR akan dikemas kini berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kamera pelindung yang dibawa turun oleh pasukan penyelamat,” katanya.
Pada Sabtu lalu media melaporkan, kelibat Jaslinda dilihat melintasi salah satu kamera pengawasan di lokasi laluan pendakian Gunung Batu Putih, dipercayai bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka pada 24 Mei lalu.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian ‘Trans Spencer Chapman’ bersama 13 individu lain serta dua malim gunung bermula pada jam 2 pagi 23 Mei lalu, melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Wanita itu bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, kemudian dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi Ahad lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendaki hilang: Kamera pengawasan di Gunung Rayu akan diperiksa


