IPOH – Festival Budaya Malaysia (FBM) @ Perak 2026 bukan sekadar memberi hiburan serta kepada masyarakat tetapi turut membuka ruang kepada penggiat seni memperkenalkan karya mereka
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada masa sama, festival itu memberi peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka, di samping menghidupkan aktiviti ekonomi bandar.
Menurutnya, penganjuran festival tersebut amat bertepatan ketika negara sedang menggerakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Saya dimaklumkan lebih seratus aktiviti yang disusun sepanjang festival ini dan inilah contoh bagaimana budaya mampu menjadi pemangkin pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Perak cukup bertuah kerana dikurniakan kepelbagaian yang sukar ditandingi, daripada Bandar Raya Ipoh yang terkenal dengan warisan, seni dan gastronominya, ke Bandar Diraja Kuala Kangsar yang sarat dengan sejarah Kesultanan Melayu.

“Daripada Lembah Lenggong yang menyimpan tamadun manusia berusia ribuan tahun, ke Hutan Paya Laut Matang, Pulau Pangkor dan pelbagai lagi khazanah alam yang menjadi kebanggaan negeri ini.
Setiap daerah mempunyai ceritanya sendiri dan setiap cerita itu merupakan aset yang perlu terus kita pelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena FBM @ Perak 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini malam ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Dalam pada itu, Saarani turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya terus berpegang kepada budaya walaupun teknologi semakin berkembang dengan dunia digital yang sentiasa membuka peluang baharu.

“Semakin jauh kita melangkah ke hadapan, semakin kuat kita perlu berpaut pada budaya yang membentuk siapa diri kita. Budaya bukan penghalang kepada kemajuan. Budaya ialah identiti yang memberi makna kepada kemajuan itu sendiri.
“Pembangunan yang sebenar bukan hanya membina bangunan yang lebih tinggi atau jalan yang lebih luas tetapi pembangunan yang sebenar apabila sebuah masyarakat terus mengenali asal-usulnya walaupun dunia sentiasa berubah.
“Mudah-mudahan suatu hari nanti, anak-anak kita masih mengenali lagu-lagu rakyat kita, masih bangga memakai pakaian tradisi, masih menghargai makanan warisan, masih memahami adab dan nilai yang membentuk masyarakat Malaysia sejak sekian lama,” ujarnya.
Sehubungan itu, Saarani berharap festival itu dapat menjadi medan yang terus menyuburkan warisan, mengeratkan perpaduan serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dan negeri ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MB Inc lancar Butik Cura Batik, Amanjaya Travels perkasa warisan, pelancongan Perak


