IPOH – Orang ramai khususnya pemilik kenderaan disaran supaya memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, terutama ketika negara berdepan fenomena Super El-Nino yang meningkatkan risiko kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, statistik menunjukkan kejadian kebakaran kenderaan berlaku hampir setiap hari, malah ada ketika mencecah antara satu hingga empat kes sehari.
Menurutnya, sebahagian daripada kejadian tersebut berpunca daripada kemalangan sebelum kenderaan terbakar, manakala selebihnya dipercayai melibatkan faktor lain termasuk keadaan cuaca yang panas.
“Itu antara faktor yang perlu kita tekankan di samping bagi menghadapi cuaca panas ini. Kita juga berpesan kepada pengguna supaya mereka servis kereta terlebih dahulu sebelum bergerak jauh bagi memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik.
“Selain itu, saya mengalakkan semua pemilik kenderaan untuk menyimpan satu alat pemadam api dalam kenderaan supaya dapat digunakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Julai Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak, Meru Raya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sayani turut menyarankan orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pihak bomba dengan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko kebakaran, terutama ketika cuaca panas yang menyebabkan api mudah merebak.
“Penghuni rumah turut diingatkan supaya meningkatkan aspek keselamatan di kediaman masing-masing, termasuk memastikan aktiviti memasak sentiasa dipantau bagi mengelakkan kecuaian yang boleh mencetuskan kebakaran,” ujarnya.
Katanya, JBPM Perak juga telah bersiap siaga untuk menghadapi fenomena tersebut dengan semua jentera dan peralatan telah diperiksa serta diselenggara bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.
“Setakat ini, persediaan di peringkat negeri adalah mencukupi dan tiada keperluan untuk mendapatkan bantuan aset atau anggota daripada negeri lain.
“Kita telah menerima 14 unit kenderaan utiliti pacuan empat roda (LOV) yang turut ditempatkan di balai-balai bomba bagi meningkatkan keupayaan operasi termasuk menghadapi banjir, kebakaran hutan dan situasi kecemasan lain,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPKM sedia hadapi kesan El Nino, pantau bekalan makanan – Mat Sabu


