Tugu Satria Perkasa lambang pengorbanan, legasi perwira PDRM

IPOH – Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) bukan sekadar mercu tanda fizikal, sebaliknya menjadi simbol penghormatan terhadap sejarah perjuangan, pengorbanan dan legasi perwira Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempertahankan kedaulatan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pembinaan tugu berkenaan mencerminkan komitmen PDRM dalam memastikan jasa serta pengorbanan warga pasukan terdahulu terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi baharu.

Menurutnya, sesebuah institusi yang kukuh bukan sahaja perlu memiliki wawasan untuk membina masa hadapan yang cemerlang, malah harus terus menghargai sejarah perjuangan yang menjadi asas kepada kekuatan organisasi.

“Tugu Satria Perkasa yang berdiri megah ini bukanlah semata-mata monumen atau mercu tanda fizikal.

“Sebaliknya, tugu ini merupakan manifestasi agung Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperingati lembaran sejarah, mengenang jasa bakti, serta memelihara legasi perjuangan para wira negara terdahulu.

“Sebuah institusi yang hebat bukan sekadar dinilai pada tekadnya untuk membina masa hadapan yang cemerlang, malah ia harus kekal sebagai entiti yang sentiasa menghargai akar sejarah perjuangan yang membentuk kekuatannya pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa, Briged Utara PGA yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di PGA Ulu Kinta di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, tugu tersebut adalah simbol penghormatan tertinggi terhadap jasa, pengorbanan, dan keberanian perwira negara, bermula dari era Pasukan Polis Hutan (PPH) hingga PGA pada masa kini.

Tugu Satria Perkasa lambang pengorbanan, legasi perwira PDRM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berucap pada Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di PGA Ulu Kinta, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 OGOS 2026.

“Menyingkap kembali lipatan sejarah, PGA atau dahulunya dikenali sebagai PPH adalah benteng hadapan yang paling ampuh dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Sejak era mendepani ancaman pengganas komunis, menempuh jerih perih konfrontasi, sehinggalah kepada operasi keselamatan sempadan yang mencabar, setiap inci tanah berdaulat ini telah dibasahi dengan peluh dan darah para perwira kita, Sang Saka Biru.

“Sesungguhnya, keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini terbina atas paksi keberanian, pengorbanan, dan kesetiaan warga pasukan yang tidak berbelah bahagi.

“Justeru itu, pemilihan nama ‘Satria Perkasa’ adalah sangat tepat. Nama ‘Satria’ melambangkan perwira yang berintegriti dan berjiwa kental, manakala ‘Perkasa’ mencerminkan keteguhan semangat dalam memelihara keamanan negara,” ujarnya.

Katanya, rekaan tiga tiang pada tugu ini membawa erti yang sangat mendalam terjemahan daripada motto rasmi PGA iaitu, ‘Cekal, Berani dan Setia.’

“Selain itu, komponen yang paling meruntun jiwa pada tugu ini adalah Panel Perwira yang Terkorban.

“Panel ini mengabadikan nama-nama perwira Briged Utara yang telah gugur semasa menjalankan tugas, bermula daripada Konfrontasi Trimus di Sarawak pada tahun 1963, sehinggalah kepada Operasi Taring di Kedah dan Perlis pada tahun 2020.

“Seramai 68 orang perwira telah berkorban nyawa demi ibu pertiwi. Nama-nama yang terpahat ini adalah catatan sejarah, lambang amanah kepada generasi baharu untuk terus memelihara keamanan negara dengan penuh iltizam,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan rasmi Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI